MACHANG – Jenazah tiga sekeluarga yang terbunuh dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan lori muatan balak di Kilometer 59 Jalan Raya Timur Barat Gerik-Jeli semalam selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Mukim Wakaf Bata di sini hari ini.
Suasana pilu dan sedih menyelubungi upacara pengkebumian di tanah perkuburan itu yang turut dihadiri kira-kira 200 orang termasuk anggota keluarga, saudara mara dan penduduk setempat. Pengkebumian itu selesai pukul 5.30 petang.
Terdahulu ketiga-tiga jenazah dibawa menggunakan van jenazah dari Hospital Gerik pukul 12.30 tengah hari dan tiba di Masjid Al-Amir Mukim Wakaf Bata untuk urusan solat jenazah pada 3 petang.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang semalam, tiga mangsa yang maut menaiki kereta Proton Saga dikenali sebagai Mohd. Nizam Suhaidin, 34, dan pasangannya, Noor Hafizah Ismail, 34, serta seorang anak pasangan itu, Muhammad Afiq Mohd. Nizam, 6, manakala seorang lagi yang maut adalah pemandu lori, Redzuan Abd. Ghani, 59 dari Jerteh, Terengganu.
Sementara itu, adik kepada Allahyarham Mohd Nizam, Mohd Zamri Suhaidin, 33, berkata anak bongsu Allahyarham, Nur Hanania Maisara, 3, masih kritikal dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Ipoh. – Bernama









