KUALA LUMPUR 16 Julai – Pelantikan tiga Naib Presiden UMNO sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri hanya bersifat sementara sehingga kemelut yang berlaku di negeri-negeri berkenaan selesai.
Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, ini kerana negeri-negeri berkenaan gagal mencari jalan konsensus dalam pelantikan kepemimpinan mereka.
Jelasnya, ketiga-tiga negeri ini juga perlu masa yang baik untuk memimpin negeri.
“Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mendengar banyak pihak dan membuat keputusan ini.
“Pelantikan ini bukan bererti mereka menjadi pengerusi badan perhubungan UMNO negeri secara kekal tetapi membantu negeri-negeri berkenaan untuk bertenang dan membuat konsensus tertentu,” katanya dalam sidang akhbar di Menara Dato Onn di sini hari ini.
Baru-baru ini, Ahmad Zahid mengumumkan tiga Naib Presiden UMNO sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Selangor, Datuk Seri Mahdzir Khalid (Terengganu) dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Perlis. -UTUSAN ONLINE










