LUMUT – Polis menahan tiga lelaki yang dipercayai terlibat dengan lima kes kecurian sarang burung walet di sekitar Pulau Pangkor di sini semalam.
Mereka ditahan di dalam sebuah kereta pacuan empat roda jenis Isuzu Dmax yang berada dalam keadaan mencurigakan pada pukul 8.30 malam semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Manjung, Deputi Superitendan Chong Boo Khim berkata, siasatan mendapati, ketiga-tiga suspek berusia dalam lingkungan 34 hingga 40 tahun.
“Hasil pemeriksaan di dalam kenderaan tersebut, polis menemui beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk kegiatan memecah masuk rumah sarang burung.
“Siasatan mendapati mereka telah mengaku melakukan pecah rumah sarang burung sebanyak lima kes di Pulau Pangkor,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Menurut Boo Kim, polis turut merampas dua bilah parang, mesin penebuk, penyembur air, mata pemotong simen, lampu kepala,tukul kuku kambing dan kapak, spanar boleh laras,pembengkok besi dan sarung tangan.
Ujarnya, kesemua suspek mempunyai lebih daripada 10 rekod lampau jenayah berkaitan dadah dan mereka kini ditahan reman selama empat hari bermula hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan melakukan pecah rumah. – K! ONLINE










