TAMPIN – Tiga individu termasuk seorang warga emas berusia 78 tahun cedera dalam satu kemalangan jalan raya membabitkan tiga buah kenderaan di Jalan Bukit Putus Tampin – Gemencheh dekat sini pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi itu, dua buah kereta jenis Proton BLM dan Wira Aeroback dari arah Gemencheh ke Tampin bertembung dengan sebuah van kilang yang sedang bergerak di laluan sama.
Pegawai Bomba Kanan II dari Balai Bomba dan Penyelamat Tampin, Mohd. Helmi Ayoub berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila tayar bahagian kanan hadapan van kilang yang sedang bergerak dari arah Gemencheh ke Tampin itu pecah apabila tiba di lokasi kejadian.
“Kejadian itu menyebabkan van kilang tersebut berpusing dan bertembung dengan dua buah kereta yang sedang mengekori van kilang tersebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Mohd. Helmi berkata, mangsa yang cedera ialah Md. Sharif Simen, 78, yang menaiki Wira Aeroback; pemandu van kilang, Khairul Azhar Rosli, 32, dan penumpangnya, Siti Wahida Mitali, 23.
Kata beliau, Md. Sharif mengalami kecederaan pada bahagian bahu dan lengan, Siti Wahida cedera pada kedua-dua belah kaki, manakala kaki pemandu van kilang itu tersepit pada pedal minyak.
Menurut beliau, seramai 15 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tampin serta Gemencheh bersama beberapa buah jentera dikerahkan memberi bantuan.
“Kami mengambil masa kurang 10 minit untuk melepaskan kaki pemandu van kilang yang tersepit dan kesemua mangsa di hantar ke Hospital Tampin untuk menerima rawatan,” katanya. – K! ONLINE










