IPOH – Persidangan Parlimen tidak akan terjejas berikutan pengumuman nama speaker belum dibuat walaupun mesyuarat pertama akan bermula Isnin depan.
Menteri Sumber Manusia, M.Kula Segaran berkata, tindakan pihak yang sengaja mensasikan isu tersebut dilihat sebagai bertujuan mengalihkan perhatian rakyat daripada isu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Persidangan (Parlimen) tidak akan terjejas. Terdapat peraturan tertentu yang harus diikuti.
“Bagi kami (Pakatan Harapan) buat kerja kami, walaupun baru dua bulan (jadi kerajaan) tapi kami yakin boleh menjawab semua soalan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kaunter Khidmat Rakyat Kementerian Sumber Manusia di Pasar Besar Ipoh di sini hari ini.
Kula Segaran yang juga Ahli Parlimen Ipoh barat mengulas mengenai tular menyatakan kelewatan mengumumkan nama speaker adalah menyalahi Peraturan Majlis Mesyuarat Perkara 3 dan 4 iaitu nama calon perlu diberikan kepada Setiausaha Dewan Rakyat dalam tempoh sekurang-kurangnya 14 hari sebelum mesyuarat. – Bernama










