Tidak perlu ikut cara pembangkang dahulu di Parlimen - Utusan Malaysia

Tidak perlu ikut cara pembangkang dahulu di Parlimen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DEWAN RAKYAT sesi Parlimen Penggal ke-14 masih belum bersidang namun kekecohan telah bermula hari ini ketika majlis mengangkat sumpah Ahli-ahli Parlimen berlangsung pagi tadi.

Kekecohan berlaku apabila Ahli Parlimen pembangkang daripada Barisan Nasional dan Pas keluar dari Dewan Rakyat memprotes pelantikan Yang Dipertua Dewan Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof yang didakwa tidak mengikut peraturan.

Hanya Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan Ahli Parlimen Kimanis Datuk Seri Anifah Aman yang setia duduk di tempat masing-masing dengan alasan demi kematangan berpolitik di dalam Dewan Rakyat.

Tindakan protes pembangkang hari ini mengingatkan siri-siri protes yang dilakukan oleh pembangkang dahulu yang kini merupakan kerajaan selepas dipilih oleh rakyat pada Pilihanraya Umum Ke-14 pada 9 Mei lalu.

Rakyat tentu masih ingat beberapa peristiwa ‘sarkas’ yang berlaku di lobi Parlimen dan dalam Dewan Rakyat ketika sesi bersidang sebelum ini.

Antaranya aksi Ahli Parlimen Pembangkang yang membawa plakad setiap kali mereka tidak berpuas hati terhadap sesuatu isu. Plakad berkenaan akan ditulis dengan isu yang ingin dibangkitkan dan dipaparkan dalam Dewan Rakyat sambil cemuh mencemuh antara satu sama lain.

Plakad yang paling diingati adalah pada sesi pembentangan Bajet 2016 yang kecoh apabila Ali Parlimen Pembangkang bangun sambil memegang plakad ‘Mana RM2.6 Bilion?’ sejurus selepas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selesai menyampaikan ucapannya.

Pada pembentangan Bajet 2017 juga kecoh apabila wakil rakyat Pakatan Harapan yang merupakan pembangkang pada waktu itu menayangkan plakad Siapa MO1? dalam Dewan Rakyat sebelum bertindak meninggalkan dewan beramai-ramai. Sama seperti hari ini.

Mungkinkah Pakatan Harapan yang kini menjadi kerajaan akan meneruskan tradisi mengunakan plakad untuk menyuarakan hati nurani mereka atau gimik yang sama akan dipinjam oleh Ahli Parlimen Barisan Nasional yang kini merupakan pembangkang.

Itu tentang plakad. Protes di Parlimen juga dilakukan dengan cara duduk di koridor bangunan Parlimen secara beramai-ramai. Antaranya pada 7 Julai 2015 pembangkang (yang kini merupakan kerajaan) melakukan demonstrasi dengan duduk di koridor bangunan Parlimen.

Ia berikutan bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia, yang juga Ahli Parlimen dari Barisan Nasional, mengumumkan untuk menangguh secara tiba-tiba perbahasan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 (RUU 355) di sesi persidangan dewan akan datang yang menyebabkan suasana menjadi kecoh di Parlimen.

Peristiwa yang turut tidak dapat dilupakan termasuk apabila beberapa anggota pembangkang dan sekumpulan 20 orang awam mengambil kesempatan meraikan hari lahir anak seorang pemimpin Hindraf di lobi Parlimen pada 22 Mei 2008.

Mereka membawa kek dan menyanyikan lagu ‘Happy Birthday To You’ secara beramai-ramai di kawasan lobi Parlimen bagi meraikan hari jadi anak P. Waytha Moorthy, pemimpin Hindraf yang pada ketika itu ‘lari’ ke Britain dengan alasan untuk mencari perlindungan.

Turut tidak ketinggalan melakukan bantahan di dalam bangunan Parlimen adalah sekumpulan 20 orang kurang upaya mendesak dua Ahli Parlimen memohon maaf atas dakwaan mengeluarkan kenyataan yang menyinggung perasaan mereka pada 9 Mei 2008.

Kedua-dua Ahli Parlimen itu ialah Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) dan Datuk Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) yang dikatakan mengeluarkan kenyataan menyingung perasaan golongan OKU.

Esok Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V dijadual akan mencemar duli merasmikan pembukaan Dewan Rakyat Penggal Pertama, Parlimen ke-14 pada Selasa ini. 

Ia juga adalah hari pertama 222 Ahli Parlimen yang terdiri daripada 124 Ahli Parlimen kerajaan dan 98 Ahli Parlimen pembangkang termasuk 26 daripada Bebas.

Mereka akan memulakan tugas mereka secara rasmi untuk kepentingan rakyat yang juga pengundi yang telah memilih mereka pada PRU-14 lalu.

Sudah tentu sesi Parlimen ke-14 dianggap istimewa kerana ini kali pertama mereka yang dahulunya pembangkang menjadi kerajaan dan mereka yang dahulunya kerajaan kini pembangkang.

Sesuatu yang menarik diperhatikan, adakah mereka yang selama ini Ahli Parlimen kerajaan yang kini menjadi pembangkang akan bersikap seperti pembangkang dahulu.

Dan adakah Ahli Parlimen kerajaan yang dahulunya pembangkang, akan meneruskan tradisi dan tingkah laku mereka yang lepas-lepas.

Melihatkan peristiwa hari ini mungkin rakyat tidak perlu meletakkan harapan yang tinggi untuk melihat perubahan dalam Dewan Rakyat nanti. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN