Tidak perlu haramkan perkahwinan bawah umur - Utusan Malaysia

Tidak perlu haramkan perkahwinan bawah umur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 25 Julai – Kerajaan Pusat tidak perlu mengharamkan perkahwinan bawah umur kerana perkara itu dibenarkan di sisi Islam.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah, apa yang perlu dilakukan kerajaan ialah mengawal perkara tersebut dengan menguatkuasakan undang-undang sedia ada supaya tidak ada mana-mana pihak mengambil kesempatan.

“Kita sudah ada undang-undang seperti mana-mana perkahwinan bawah umur mesti mendapat kebenaran pihak berkuasa negeri. Kuatkuasakanlah undang-undang ini.

“Kalau nak mengharamkan terus, kita tak setuju sebab dari segi agama tidak salah. Kalau dalam agama dibenarkan kenapa kita nak haramkan pula.

“Tetapi kalau nak mengawal itu bagus sebab kita tidak mahu ada orang ambil kesempatan nanti,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di sini hari ini.

Kerajaan hari ini dilaporkan membayangkan untuk mengharamkan terus perkahwinan bawah umur di negara ini dalam jangka panjang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa berkata, sebagai permulaan, garis panduan lebih ketat membabitkan perkahwinan kanak-kanak bawah umur akan dirangka secepat mungkin.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Amar berkata, kerajaan Pusat juga tidak perlu menggubal akta baharu bagi mewujudkan keharmonian dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini, sebaliknya berusaha menguatkuasakan akta sedia ada.

Katanya, Malaysia sebenarnya merupakan sebuah negara yang mempunyai banyak undang-undang namun lemah dari segi penguatkuasaan.

“Saya ada membaca pandangan seorang peguam bahawa undang-undang di Malaysia ini sudah cukup untuk mengawal (keharmonian), tidak perlu kepada akta yang baharu. Contohnya Akta Hasutan.

“Saya sendiri pun berpandangan kalau kerajaan menguatkuasakan akta yang ada, itu lebih dari cukup berbanding kita perkenal akta baharu. Tengok semula ruang-ruang yang ada bagaimana kita boleh manfaatkannya untuk jaga keharmonian negara,” katanya.

Kerajaan dilaporkan akan memperkenalkan Akta Kebencian Agama dan Kaum bagi menyekat budaya mencaci dan memaki agama yang ada di negara ini.

Dua lagi undang-undang yang akan diperkenalkan adalah Akta Antidiskriminasi dan Akta Suruhanjaya Harmoni dan Perdamaian. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN