KUALA LUMPUR 18 Julai – Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali gagal memberikan penjelasan mengenai kenaikan kos projek kereta api berkelajuan tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) yang didakwa oleh kerajaan melonjak kepada kira-kira RM110 bilion berbanding RM72 bilion sebelum ini selepas Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran negara.
Azmin hanya mendakwa terdapat kos tersembunyi yang tidak didedahkan oleh kerajaan sebelum ini, tanpa memperincikan mengenainya.
“Kos yang disebut oleh Yang Berhormat Ayer Hitam adalah kos projek tetapi dalam banyak perkara, banyak `hidden cost’ yang tidak didedahkan oleh kerajaan sebelum ini.
“Maka kerajaan Pakatan Harapan bertanggungjawab untuk mendedahkan keseluruhan `costing’ bagi projek ini. Kita akan lihat kemampuan kerajaan untuk membiayai projek ini.
“Jika projek ini tidak dapat dilaksanakan dalam suasana ekonomi pada hari ini maka kerajaan mengambil pendirian untuk bincang dengan Singapura bagi memastikan semua terma dalam perjanjian ini dipatuhi. Itu pendirian yang diambil oleh kementerian,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) yang ingin mengetahui bagaimana kos projek HSR mencecah RM110 bilion secara tiba-tiba berbanding sebelum ini sekitar RM72 bilion, dalam sesi pertanyaan bagi jawab lisan pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjelaskan Jawatankuasa Bersama Malaysia-Singapura sehingga awal tahun ini mengunjurkan kos bagi projek HSR adalah kira-kira RM72 bilion dan bukannya RM110 bilion, meliputi pengambilan tanah dibayar kepada rakyat Malaysia.
Katanya, unjuran kos berkenaan berasaskan kepada penilaian antarabangsa yang dilakukan dan dikemukakan sebelum ini.
Malah, kata Najib, kos sebenar hanya diketahui apabila tender sepenuhnya bagi mereka bentuk, membina, pembiayaan dan penyelenggaraan kesemua `rolling stock’ dan asset keretapi HSR yang dijangka tutup pada 28 Disember tahun ini. – UTUSAN ONLINE










