KUALA LUMPUR – Tidak ada isu atau masalah pertindihan kuasa yang pernah dilakukan oleh Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), kata Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Abdul Rahman.
Syed Saddiq, yang juga Menteri Belia dan Sukan, dalam kenyataan akhbar hari ini berkata, bidang kuasa CEP hanyalah untuk menasihati Perdana Menteri dan anggota Kabinet.
“Jika nasihat yang diberi dirasakan tidak sesuai, maka anggota Kabinet berhak menolak atau menggesa penambahbaikan kepada cadangan dan nasihat daripada CEP.
Setiap tindakan dan keputusan oleh CEP tidak boleh diluluskan dengan sendiri. Jadi tidak ada isu anggota CEP lebih berkuasa daripada Kabinet dan mereka juga tidak boleh bertindak sesuka hati melangkaui bidang kuasa yang diperuntukkan,” katanya.
Beliau mengulas cadangan Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin yang meminta kerajaan membubarkan CEP dengan serta merta kerana dilihat bukan hanya bertindak sebagai penasihat, tetapi juga mencampuri urusan kerajaan.
Syed Saddiq berkata, tempoh kuasa yang diberikan kepada CEP hanya 100 hari dan sepanjang tempoh berkenaan, CEP banyak melontarkan idea dan cadangan kepada kerajaan Malaysia.
“Pelantikan anggota CEP juga berlandaskan meritokrasi dan pengalaman mentadbir. Saya percaya rakyat Malaysia akan menilai prestasi CEP dengan telus dan adil supaya usaha murni tokoh-tokoh yang berada di dalamnya boleh dijadikan inspirasi, bukannya dipolitikkan,” katanya. – Bernama










