Tiada ADUN BN sertai Bersatu - Utusan Malaysia

Tiada ADUN BN sertai Bersatu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MACHANG 29 Julai – Tiada kelibat wakil rakyat Barisan Nasional (BN) negeri ini kelihatan dalam Majlis Hijrah 2.0 anjuran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi mengisytiharkan ahli baharu parti itu, di sini hari ini walaupun disebut-disebut akan berbuat demikian.

Dalam majlis yang dirasmikan oleh Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, hanya bekas AhIi Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunku, Datuk Mohd. Zain Ismail mengisytiharkan masuk Bersatu bersama 500 pemimpin akar umbi UMNO Bahagian Machang.

Turut mengumumkan menyertai Bersatu ialah Muhammad Zul Apis Baharum atau Mat Terey, lelaki ‘istimewa’ yang pernah tular dalam media sosial kerana ditahan polis selepas dikatakan menghina Tunku Mahkota, Tunku Ismail Sultan Ibrahim tahun lalu.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Bersatu negeri merangkap Ketua Bersatu Bahagian Machang, Datuk Sazmi Miah berkata, perbincangan dengan wakil rakyat tersebut memang berlaku namun perkara tersebut ditakdirkan tidak menjadi kenyataan hari ini.

“Ini kerja tuhan belaka, mungkin bukan hari ini (wakil rakyat UMNO masuk Bersatu) tetapi akan berlaku juga suatu hari nanti. Ia merupakan perkara yang akan berlaku juga, kita tidak boleh menahannya,” katanya ketika berucap dalam majlis tersebut.

Yang turut hadir, Pengerusi Bersatu negeri, Datuk Kamaruddin Md. Noor.

Khabar angin timbul sejak beberapa hari lalu kononnya Pakatan Harapan (PH) bakal mempunyai seorang wakil rakyat di negeri ini apabila sekurang-kurangnya seorang ADUN BN dijangka menyertai Bersatu.

ADUN berkenaan dikatakan akan berbuat demikian dalam majlis Hijrah 2.0 yang dihadiri Mukhriz hari ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN