Thompson bakal terlepas Terbuka Britain - Utusan Malaysia

Thompson bakal terlepas Terbuka Britain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON 26 Julai – Pemain golf wanita No. 5 dunia, Lexi Thompson mungkin terlepas Terbuka Britain bulan depan bagi membolehkannya ‘mengecas’ kekuatan mentalnya.

Dalam laman media sosial pemain Amerika berusia 23 tahun itu, dia memberitahu dia mengharungi halangan yang amat hebat sepanjang 18 bulan lalu.

Pada Mac lalu, Thompson pernah memberitahu dia masih dihantui mimpi ngeri selepas dikenakan penalti empat pukulan yang menjejaskan peluangnya untuk meraih kemenangan dalam kejohanan Inspirasi ANA pada April 2017.

“Saya sedar kadang-kala saya memerlukan masa untuk bekerja dengan diri sendiri.

“Dalam masa sama ia memerlukan masa untuk mengecas bateri mental saya agar kembali fokus dalam permainan golf profesional,” kata Thompson dalam akaun Instagram miliknya.

Terbuka Britain salah satu daripada lima kejohanan utama dan akan bermula pada 2 Ogos ini di Royal Lytham.

Thompson memberitahu, dia berharap untuk kembali bagi mempertahankan gelaran Wanita Indy dalam Kejohanan Tech yang akan bermula pada 16 Ogos ini.

Sewaktu dia dikenakan penalti empat pukulan dalam pusingan akhir kejohanan Inspirasi ANA, Thompson dilihat menamatkan saingan dengan tangisan selepas tewas kepada Ryu So-yeon dalam aksi play-off.

“Kejohanan tahun lalu itu amat mengganggu mental dan emosi saya,” kata Thompson. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN