PARIS 17 Julai – Pemain antarabangsa Perancis dan Arsenal yang telah bersara, Thierry Henry berkata, hari ini, bahawa dia akan meninggalkan tugasnya sebagai penganalisis bola sepak bersama stesen televisyen Britain, Sky Sports bagi memberi tumpuan kepada kariernya selaku jurulatih.
Henry, yang bekerja bersama Sky sejak 2015, turut menggalas tanggungjawab sebagai penolong kepada pengurus Belgium, Roberto Martinez sejak 2016 dan membantu pasukan itu memenangi tempat ketiga pada Piala Dunia.
“Sejak empat tahun lalu, saya telah meraih pengalaman yang cukup berharga sebagai jurulatih bola sepak.
“Pengalaman ini telah mendorong saya membuat keputusan bagi memenuhi cita-cita saya sejak dulu untuk menjadi seorang pengurus.
“Saya telah membuat keputusan bahawa saya perlu tinggalkan Sky Sports bagi membolehkan saya menghabiskan lebih banyak masa di padang dan memberi tumpuan kepada perjalanan saya mencapai sasaran yang telah diletakkan,” kata Henry menerusi media sosial, Instagram dan Twitter.
Henry memperoleh lesen kejurulatihannya bersama pasukan remaja Arsenal, tetapi pada 2016 dia memilih untuk fokus kepada kerjayanya bersama Sky berbanding tugas di kelab berkenaan.
Penjaring gol terbanyak sepanjang zaman Perancis itu, merupakan pemain yang berada di dalam skuad yang memenangi Piala Dunia 1998 di tanah air sendiri dan Euro 2000 di samping Didier Deschamps, yang dimahkotakan sebagai juara dunia buat kali kedua selaku pengurus Perancis. – AFP










