SEPANG 25 Julai – Lembaga Tabung Haji (TH) menafikan dakwaan bahawa pihaknya telah menarik balik pemberian kemudahan penginapan percuma bagi jemaah transit untuk tahun ini seperti yang disediakan dalam musim-musim haji sebelum ini.
Pengurus Besar Kanan (Haji) TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, perkhidmatan tersebut tidak disediakan sejak tiga tahun lalu lagi selepas proses penambahbaikan perkhidmatan dilakukan seperti penyediaan penerbangan terus dari stesen berlepas lain.
“Pada musim-musim haji terdahulu TH menyediakan kemudahan penginapan percuma di Kompleks TH Kelana Jaya kepada para jemaah haji dari stesen lain atas kekangan penerbangan atau jadual penerbangan transit awal melebihi satu hari sebelum mereka bertolak ke Tanah Suci.
“Kini dengan adanya lapan stesen di zon-zon yang lain seperti di Alor Star, Pulau Pinang, Johor, Kota Bahru, Kuala Terengganu, Kota Kinabalu dan Kuching bakal jemaah transit dari stesen lain tidak perlu keluar dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Kompleks TH di sini kerana penerbangan mereka akan diteruskan dengan penerbangan sewa khas ke Tanah Suci,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.
Kelmarin, seorang peguam, Datuk Abu Bakar Sidek membangkitkan isu penghapusan penginapan percuma kepada jemaah haji oleh TH pada tahun ini.
Dakwanya, pada musim-musim haji sebelum ini jemaah dari Kedah, Perak dan negeri-negeri lain diberikan penginapan percuma selama satu hari sebelum berlepas ke Tanah Suci.
Mengulas lanjut, Syed Saleh berkata, jemaah haji yang memilih untuk berlepas dari sini juga tiada keperluan untuk disediakan bilik penginapan kerana mereka hanya perlu melapor diri empat jam di Kompleks TH Sepang sebelum berlepas.
Katanya, jika jemaah haji atau waris mereka memilih untuk datang awal daripada waktu melapor diri, mereka perlu menguruskan sendiri tempat penginapan. – UTUSAN ONLINE










