TFC I impi tiga terbaik - Utusan Malaysia

TFC I impi tiga terbaik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JURULATIH Terengganu Football Club I (TFC I), Irfan Bakti Abu Salim me­nyasarkan kelompok tiga pasukan terbaik selepas berjaya menumpaskan Kelantan 2-0 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu kelmarin.

Justeru, jurulatih berpengalaman itu meminta skuad bimbingannya supaya terus fokus kepada perlawanan terakhir menentang Sela­ngor di Kuala Lumpur, Ahad ini.

“Kita menyasarkan tempat ketiga atau kedua dalam liga. Jadi, para pemain harus menghadiahkan tiga mata kepada pasukan ketika menentang Se­langor supaya kita mampu mencapai sasaran tersebut.

“Kita sudah menghampiri perlawanan terakhir bagi musim ini. Satu kerugian jika pemain tidak merebut kelompok tiga pasukan terbaik,” katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan kelmarin.

Kemenangan ke atas Kelantan membolehkan skuad Penyu kembali ke tangga keempat liga dan berkongsi 34 mata dengan Pahang yang berada di tangga ketiga.

Dalam perlawanan tersebut, penyerang sensasi TFC I, Tchetche Kipre meledak gol pertama tuan rumah menerusi rembatan kencang pada minit ke-44.

Penjaga gawang Kelantan, Mohd. Shahrizan Ismail tewas buat kali kedua selepas gagal menahan rembatan deras pemain pertahanan tuan rumah, Mohamad Kamal Azizi Moha­mad Zabri pada minit ke-53.

Dalam pada itu, Irfan berkata, beliau terpaksa akur selepas dua pemain importnya, Lee Andrew Tuck dan Thierry Chantha Bin tidak dapat beraksi pada aksi menentang Selangor selepas dilayangkan kad kuning ketiga.

“Pertembungan dengan Sela­ngor nanti mungkin saya akan gunakan khidmat pemain daripada TFC II selepas Lee Tuck dan Thierry tidak dapat bermain,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN