KUALA LUMPUR 6 Jul. – Pengasuh berdaftar mengenakan harga yang tinggi menyebabkan ramai ibu bapa memilih untuk menghantar anak mereka ke pusat asuhan tidak berdaftar atau individu yang tidak bertauliah.
![]() |
|
SHEILLA TUKIMIN
|
Malah, ibu bapa juga boleh berunding dengan pengasuh tidak berdaftar untuk mengurangkan harga sekiranya mereka menghantar lebih daripada seorang anak.
Faktor sedemikian menyebabkan ibu bapa yang kurang berkemampuan terpaksa menghantar anak mereka kepada pengasuh tidak berdaftar meskipun menyedari risiko yang bakal dihadapi.
Rabu lalu negara digemparkan dengan penemuan mayat bayi berusia lima bulan, Adam Rayqal Mohd. Sufi yang diletakkan dalam peti sejuk dekat rumah pengasuhnya di Kampung Nakhoda di Batu Caves, Selangor.
Presiden Persatuan Wanita dan Ibu Tunggal Nur Iman Kuala Lumpur dan Selangor (Witus), Sheilla Tukimin memberitahu, tiada penetapan harga siling menyebabkan ramai ibu bapa yang kurang berkemampuan tidak menghantar anak ke pusat asuhan berdaftar.
“Memang tidak dinafikan pusat asuhan berdaftar mengenakan bayaran yang lebih mahal berbanding pengasuh tidak berdaftar.
“Malah perbezaan bayaran juga begitu ketara sebagai contoh, paling rendah caj yang dikenakan bagi pengasuh tidak berdaftar bermula daripada RM150 hingga RM350 berbanding pengasuh berdaftar harganya boleh mencecah RM600 seorang.
“Kemudian, ibu bapa juga boleh berunding dengan pengasuh tidak berdaftar untuk mendapatkan harga yang lebih berpatutan sekiranya mereka menghantar lebih daripada seorang anak.
“Sementara pusat asuhan berdaftar mengenakan caj bagi seorang anak yang dihantar dan bayarannya adalah tetap,” katanya.
Beliau ketika dihubungi Utusan Online turut memberitahu, tidak semestinya pengasuh tidak berdaftar tidak cekap dalam menjaga bayi dan kanak-kanak.
“Sebahagian pengasuh tidak berdaftar mempunyai pengalaman dalam mengasuh bayi dan kanak-kanak. Cuma mereka bukan dalam golongan berkemampuan untuk menghadiri kursus pengasuhan atau pendidikan awal kanak-kanak.
“Yuran yang dikenakan oleh penganjur juga terlalu mahal. Kalau dapat tajaan daripada kerajaan, masa pula tidak sesuai seperti pada hari bekerja. Lebih baik dianjurkan pada hujung minggu.
“Jadi lebih baik kerajaan bantu menganjurkan kursus jangka pendek pada hujung minggu dan berterusan. Bantu juga pengasuh yang tidak berkemampuan untuk menghadiri kursus,” ujarnya.
Dalam pada itu, selain saranan menetapkah harga siling, beliau juga mencadangkan supaya kerajaan mengarahkan majikan supaya menyediakan pusat asuhan di tempat kerja.
“Jika majikan sediakan pusat asuhan ditempat kerja, secara tidak langsung produktiviti organisasi dan pekerja akan meningkat.
“Selain itu, pembukaan pusat asuhan ditempat kerja juga memudahkan kerajaan memantau rutin dan aktiviti di sana” katanya. – UTUSAN ONLINE











