Terus bangkit bantah tuntutan Comango - Utusan Malaysia

Terus bangkit bantah tuntutan Comango

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 20 Julai – Orang ramai khususnya umat Islam diseru supaya terus bangkit menentang tuntutan Gabungan NGO-NGO Hak Asasi Manusia (Comango) yang cuba memperjuangkan hak asasi golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negara ini.

Pengarah media dan Komunikasi Persatuan Orang Kota Bharu (POKB), Johari Abdullah berkata, pihaknya sentiasa menentang keras tuntutan Comango kerana ia berlawanan fitrah manusia serta bertentangan dengan nilai-nilai kemanusiaan dan keindahan syariat Islam.

Tegasnya, perjuangan Comango juga jelas mencabar kedudukan Islam dalam Perlembagaan serta keharmonian beragama, lebih-lebih lagi tiada agama di dunia ini yang membenarkan LGBT selain pembaharuan yang diada-adakan sesetengah golongan dalam agama. 

“Rukun Negara yang pertama adalah ‘Kepercayaan kepada Tuhan’ dan rakyat Malaysia yang beragama, menolak LGBT. Menyokong LGBT adalah pencabulan kepada agama. 

“Apabila kita melawan hukum alam, maka bersedialah menerima akibatnya. Penularan penyakit jangkitan seksual (sexually-transmitted disease, STD) kebanyakannya melibatkan golongan LGBT ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Johari, apa yang diperjuangkan oleh Comango adalah perbuatan yang tidak memberi manfaat kepada kesejahteraan hidup seorang insan termasuk mendatangkan kemudaratan yang kritikal khususnya kepada golongan LGBT itu sendiri.

“POKB menyeru semua pihak, terutama umat Islam agar bangkit menentang tuntutan ini. Umat Islam harus mengambil pengajaran kisah kaum Nabi Lut yang diceritakan sebanyak sembilan kali oleh Allah SWT dalam surah yang berbeza iaitu al-A’raf 80-84, Hud 77-83, al-Hijr 57-77, al-Anbiya 74, as-Syuara’ 160-175, al-Naml 54-58, al-Ankabut 28-35, as-Saaffat 134-138, al-Qamar 33-40. 

“Tidakkah kita takut dengan bala Allah SWT? Adakah kita terselamat dari kemurkaan dan azab ALLAh SWT? Tidak cukupkah dengan amaran banjir kilat, gempa bumi, ribut petir, taufan, tsunami dan pelbagai lagi bencana alam yang berlaku di muka bumi ini?” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN