SHAH ALAM 17 Julai – Seramai 47 pelajar Sekolah Menengah Kebangsan (SMK) Seksyen 7 di sini hari ini teruja kerana berpeluang belajar membuat video pendek dalam bengkel yang diadakan sempena Pertandingan Video Pendek #muhibah Utusan Malaysia-Utusan Online.
Perkara itu diakui sendiri Penyelaras Kokurikulum sekolah itu, Azlina Abdul Ghani yang menyatakan bengkel terbabit mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan pelajar.
Azlina berkata, pada asalnya pihak Utusan Malaysia hanya membuka penyertaan kepada 25 pelajar sahaja tetapi para pelajar kemudiannya telah meminta supaya penambahan sebanyak 47 penyertaan diberikan.
“Kami dipihak sekolah amat mengalu-alukan bengkel seperti ini kerana ia memberi peluang dan pendedahan baharu kepada pelajar di sekolah ini dalam membuat video pendek.
“Bengkel ini juga sejajar dengan perkembangan semasa selain memberi peluang kepada pelajar bergiat aktif dalam aktiviti kokurikulum dan mendedahkan bakat mereka,” katanya ketika ditemui dalam sesi penataran video pendek #muhibah di sekolah terbabit.
Sementara itu, pelajar tingkatan empat, Haleef Ezuan Hairil memberitahu, dia berasa amat gembira dapat menyertai bengkel tersebut.
“Ini kali pertama saya mengikuti bengkel membuat video pendek dan saya sendiri tidak menyangka dengan menggunakan telefon bimbit sahaja kita boleh menghasilkan video.
“Melalui bengkel ini juga kami golongan pelajar dapat lebih menghayati makna sebenar perpaduan,” ujarnya.
Seorang lagi pelajar tingkatan empat, Y. Tharani turut menyuarakan rasa teruja kerana dapat menyertai bengkel membuat video itu.










