Terlepas final Piala Dunia - Utusan Malaysia

Terlepas final Piala Dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK – Seramai 12 budak lelaki dan jurulatih bola sepak mereka yang di­selamatkan dari sebuah gua dipenuhi air di Thailand hanya akan menonton rakaman dan bukannya siaran langsung perlawanan akhir Piala Dunia, kata seorang pegawai hospital tempat mereka dirawat semalam.

“Oleh kerana perlawanan akhir Piala Dunia disiarkan agak lewat dan kami pula mahu budak-budak itu berehat, kami akan merakam perlawanan tersebut dan mereka boleh menontonnya kemudian,” kata pegawai ber­kenaan di Hospital Prachanukroh, wilayah Chiang Rai, utara Thailand.

Pegawai berkenaan enggan identitinya didedahkan kerana dia tidak dibenarkan mengeluarkan kenyataan kepada pihak media.

Perancis menentang Croatia pada perlawanan akhir Piala Dunia di Moscow yang disiarkan secara langsung pukul 10 malam (waktu tempatan) di Thailand semalam.

Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pernah menjemput budak-budak lelaki berkenaan dan jurulatih mereka untuk menonton perlawanan akhir itu di Moscow tetapi mereka tidak dapat pergi atas sebab kesihatan.

Semua 12 ahli pasukan bola sepak Mu Pa (Babi Hutan) dan jurulatih mereka itu terperangkap lebih dua minggu di Gua Tham Luang, wilayah Chiang Rai.

Mereka dirawat di hospital selepas diselamatkan dalam operasi yang berlangsung selama tiga hari dan akan dibenarkan pulang Khamis ini.

Kumpulan kanak-kanak yang berumur antara 11 hingga 25 tahun itu merancang untuk meneroka Gua Tham Luang selama sejam bersama jurulatih mereka selepas sesi latihan bola sepak pada 23 Jun lalu.

Bagaimanapun, gua itu dimasuki air semasa musim hujan, mengakibatkan mereka terperangkap.

Kejayaan usaha sukar ­untuk menyelamatkan me­reka pula mencetuskan ke­gembiraan dunia bola sepak.

Pada minggu lalu, kelab bola sepak Inggeris, Manchester United mengundang pasukan Mu Pa untuk menonton perlawanan di Old Trafford.

Sementara itu, pihak berkuasa menutup Gua Tham Luang buat masa ini tetapi akan membukanya semula sebagai destinasi pelancongan dengan kawalan keselamatan secukup­nya kemudian. – Reuters

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN