SEREMBAN 5 Julai – Kira-kira 500 individu meninggal dunia akibat lemas di negara ini setiap tahun berdasarkan rekod Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
![]() |
|
MOHAMAD HAMDAN WAHID
|
Ketua Pengarah JBPM, Mohamad Hamdan Wahid berkata, kebanyakan kematian berlaku di kawasan pantai, sungai, air terjun dan tempat-tempat rekreasi sewaktu mangsa sedang beriadah.
“Secara purata rekod JBPM mencatatkan 500 kes kematian akibat lemas setahun. Ini rekod kematian akibat lemas yang JPBM respons, tidak termasuk yang tidak dilaporkan kepada kita.
“Rekod kematian akibat lemas tiga kali ganda lebih tinggi berbanding kematian akibat kebakaran iaitu 150 kematian setahun,” katanya dalam sidang akhbar selepas lawatan kerja rasmi di Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2 dekat sini, hari ini.
Mohamad Hamdan berkata, pihaknya menyarankan supaya satu akta berkaitan keselamatan di air diwujudkan bagi menangani kadar kematian disebabkan lemas.
Menurut beliau, akta itu perlu diwujudkan di samping pemerkasaan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) JBPM yang kini dibarisi seramai 600 anggota terlatih di 58 kawasan di seluruh negara.
Jelas beliau, akta itu membolehkan JBPM bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) melaksanakan langkah pencegahan seperti memasang tanda amaran, memagar kawasan berisiko dan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang melanggar peraturan.
“Jika kita boleh mencegah kebakaran disebabkan ada Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341), maka kita boleh mencegah kejadian lemas jika ada akta dan peraturan mengenainya,” katanya.











