KUALA TERENGGANU 23 Julai – Terengganu menuntut agar pembayaran royalti minyak oleh kerajaan Persekutuan dibuat mengikut perjanjian yang telah dimeterai dengan negeri-negeri pengeluar terlibat.
Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri berkata, Terengganu sebagai salah satu daripada empat negeri pengeluar sumber itu tidak bersendirian dalam isu tersebut yang bakal memberi impak kepada negeri.
Katanya, pendirian sama turut disuarakan oleh kerajaan Sarawak dalam sesi pertemuan tidak rasmi antaranya dengan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di negeri itu hari ini.
“Secara khususnya kami bersetuju dan komited untuk memastikan yang terbaik bagi negeri Terengganu dan Sarawak serta negeri pengeluar minyak dan gas yang lain,” ujarnya dalam kenyataan yang dimuat naik dalam laman facebooknya.
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini memaklumkan kerajaan Persekutuan di bawah Pakatan Harapan akan memenuhi janji menyalurkan 20 peratus keuntungan hasil petroleum negara kepada empat negeri pengeluar sumber itu.
Menurut Dr. Samsuri, pembayaran royalti perlu mengikut perjanjian yang dimeterai berasaskan pengeluaran minyak dan gas, bukannya daripada keuntungan bersih.
“Perbincangan saya bersama beliau (Abang Johari) lebih menfokuskan isu royalti minyak yang hangat diperbincangkan sekarang. Pertemuan turut dihadiri oleh Menteri Muda, Sharifah Hasidah dan para pegawai kanan kerajaan Sarawak,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











