KUALA LUMPUR 30 Julai – Semua 22 anak kapal flotila Al-Awda termasuk sukarelawan Humanitarian Care Malaysia (MyCare) , Prof. Madya Dr. Mohd. Afandi Salleh yang ditawan tentera laut Israel semasa berlayar ke Gaza semalam telah dipaksa berlabuh ke Pelabuhan Ashdod, Israel.
Pengerusi MyCare, Prof. Madya Dr. Hafidzi Mohd. Noor berkata, berdasarkan laporan terkini daripada bilik gerakan misi kemanusian tersebut, kesemua anak kapal termasuk Mohd. Afandi telah menjadi tawanan tentera laut Israel namun berada dalam keadaan selamat ketika ini.
“Tindakan tentera laut Israel menghalang kapal Al-Awda daripada belayar masuk ke Gaza dan menyekat semua akses luar ke situ bertentangan dengan Konvensyen Geneva Keempat yang menegah hukuman kolektif ke atas mana-mana komuniti.
“Kita telah menghubungi Wisma Putra berkenaan hal ini dan telah mengaktifkan komunikasi dengan pasukan peguam antarabangsa untuk membantu membebaskan Mohd. Afandi,” katanya dalam sidang akhbar yang berlangsung di Pejabat MyCare, di sini hari ini.
Semalam, MyCare memaklumkan empat buah kapal perang Israel menghampiri kapal Al-Awda pada pukul 6.30 petang ketika berada 53 batu nautika (kira-kira 110.5 kilometer) dari pesisir pantai Gaza.
Namun, MyCare telah terputus hubungan dengan kapal tersebut pada pukul 7.15 petang semalam selepas tentera laut Israel menawan kesemua anak kapal berkenaan.-UTUSAN ONLINE










