CYBERJAYA 15 Julai – Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman hari ini berkenan menyempurnakan Majlis Perasmian Jubli Emas Sekolah Seri Puteri di sini.
Keberangkatan tiba Tengku Permaisuri Norashikin pada pukul 10 pagi disambut Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik, Pengetua sekolah, Roslina Ahmad dan warga sekolah.
Selain acara Santapan Diraja dan Jamuan Jubli Emas, majlis terbabit turut diserikan dengan persembahan choral speaking, tarian dan pancaragam dari pelajar sekolah itu.
Tengku Permaisuri Norashikin turut berkenan mengadakan lawatan ke Galeri Warisan sekolah berkenaan.
Maszlee ketika berucap berkata, sekolah berasrama penuh (SBP) seperti Sekolah Seri Puteri perlu memainkan peranan dalam melahirkan daya kreativiti pelajar serta mutu pendidikan yang terbaik.
Ke arah itu, golongan pendidik perlu anjakan paradigma dalam pembelajaran agar pelajar lebih kritis dan inovatif.
“Pendidik perlu berganjak dari cara pembelajaran dalam hafalan dan bertindak di luar cara konvensional. Jangan melihat pembelajaran secara tradisional tetapi menerokai ruang-ruang pembelajaran terbuka,” katanya.
Sementara itu Maszlee menjelaskan, kementerian akan menerapkan tiga nilai utama yang akan dijadikan budaya dalam sistem pendidikan negara iaitu kegembiraan, kasih sayang dan saling menghormati.
Sekolah Seri Puteri yang ditubuhkan ada 6 Mei 1968 pada mulanya dikenali sebagai Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan Jalan Kolam Air, Kuala Lumpur.
Pada 2003, sekolah itu dipindahkan ke premis baharu di Persiaran Tasik Cyberjaya manakala premis lama dijadikan Sekolah Sains Seri Puteri (Seseri). – UTUSAN ONLINE










