KUALA LUMPUR 15 Julai – Honda Malaysia (Honda) mengumumkan tempahan kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak HR-V baharu termasuk varian RS kini dibuka di 95 pusat pengedar sah Honda di seluruh negara.
![]() |
|
TOICHI ISHIYAMA
|
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Toichi Ishiyama berkata, HR-V baharu dikuasakan oleh enjin 1.8L SOHCi-VTEC bersama transmisi berubah-ubah berterusan (CVT) teknologi Honda Earth Dream yang memberikan keseimbangan prestasi dan kecekapan penggunaan bahan bakar.
Menurut beliau, HR-V baharu mengekalkan ruang kargo yang mudah dikendalikan bagi memaksimumkan penggunaan ruang dengan pelbagai mod tempat duduk belakang.
“Terdapat tiga mod iaitu utiliti, tinggi dan panjang membolehkan pengguna melaraskan tempat duduk mengikut keselesaan masing-masing sama ada untuk kegunaan harian atau perjalanan jarak jauh.
“Ciri-ciri keselamatan standard yang terdapat pada model ini seperti enam beg udara, Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS), Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA) dan Bantuan Mula Mendaki (HSA). Sebagai tambahan, kamera belakang pelbagai sudut pandangan juga ditawarkan untuk keselesaan pemandu,” katanya dalam kenyataan di sini.
Tambah Ishiyama, RS merupakan varian baharu dalam model HR-V dengan menampilkan gaya yang gagah, sporty dan berkuasa melalui perubahan pada bahagian luarannya.
Katanya, RS lebih sporty dan menarik dengan pelbagai ciri baharu seperti konsep ‘Wing Face’ yang lebih mantap, set lampu utama baharu, lampu nyalaan siang (DRL), lampu kabus dan belakang yang kesemuanya menggunakan diod pemancar cahaya (LED).
“Varian ini didatangkan dengan rim aloi dua tona baharu 18 inci, rekaan Sport pada gril hadapan serta menggunakan bampar baharu pada bahagian depan dan belakang. Aspek keselamatan pada varian RS dipertingkat dengan Honda LaneWatch iaitu sistem kamera pada cermin sisi sebelah penumpang.
“Sistem akan memaparkan lorong di sisi kanan termasuk titik buta bagi memberikan pandangan yang lebih jelas serta mewujudkan persekitaran yang selamat ketika memandu. Sempena pelancaran ini Honda turut menawarkan warna baharu iaitu Passion Red Pearl,” ujarnya.
HR-V merupakan model kedua terlaris dengan menyumbang sebanyak 16 peratus daripada keseluruhan jualan dan Honda berjaya mengekalkan kedudukan pertama untuk tiga tahun berturut-turut bagi segmen SUV kompak dengan lebih 72,000 buah kenderaan telah terjual setakat Jun lalu.











