Temasya 1958 catat penyertaan tertinggi - Utusan Malaysia

Temasya 1958 catat penyertaan tertinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGANJURAN Sukan Asia 1958 amat mengagumkan dalam aspek penyertaan kerana mencatat jumlah tertinggi berbanding dua edisi sebelumnya.

Seramai 1,820 atlet yang mewakili 20 negara anggota Persekutuan Sukan Asia mengambil bahagian dalam temasya Tokyo yang berlangsung dari 24 Mei hingga 1 Jun 1958.

Peningkatan itu didorong oleh kecemerlangan yang dicatat pada dua penganjuran terdahulu.

Sebanyak 112 acara daripada 13 jenis sukan dipertandingkan, yang keseluruhan menawarkan 302 pingat.

Sukan Asia 1958 juga akan dikenang sebagai temasya pertama memperkenalkan larian obor, dan ia kemudian dijadikan acara tradisi dalam penganjuran selepas itu.

Bermula di Koliseum Memorial Rizal di Manila, Filipina obor tersebut terus dibawa ke Jepun dan menjelajahi setiap kepulauan negara tuan rumah Sukan Asia 1958.

Di Jepun, obor Sukan Asia dibawa melalui Pulau Okinawa untuk diberikan kepada Gabenor Kahoshima di Pulau Kyushu sebelum perjalanan merentasi setiap kepulauan Jepun.

Majlis pembukaan Sukan Asia 1958 disempurnakan oleh Maharaja Jepun, Hirohito di Stadium Nasional yang turut menyaksikan atlet lompat kijang tuan rumah, Mikio Oda diberikan penghormatan menghidupkan obor utama temasya.

Selaku tuan rumah, Jepun berjaya muncul juara keseluruhan selepas mengumpul 67 emas, 41 perak dan 30 gangsa, meninggalkan Filipina di tempat kedua (8-19-21), manakala Korea Selatan ketiga menerusi lapan emas, tujuh perak dan 12 gangsa.

Bagi negara-negara Asia Tenggara, temasya 1958 juga sangat istimewa kerana ia dijadikan pentas untuk mereka membincangkan mengenai pertandingan sukan di peringkat rantau ini.

Selepas mengadakan rundingan sepanjang di Tokyo maka berlangsunglah Sukan Semenanjung Asia Tenggara (SEAP) buat kali pertama di Bangkok pada 1959.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN