PARIS 24 Julai – Sebuah sekolah persendirian di sini mewajibkan para pelajarnya membawa alat pengesan Bluetooth untuk memastikan mereka hadir ke kelas masing-masing.
Arahan itu bagaimanapun mendapat bantahan pelbagai pihak malah lebih 3,500 orang telah menandatangani petisyen menentang tindakan tersebut.
Pelaksanaan arahan di Sekolah Katolik Lycee Rocroy Saint-Vincent de Paul itu dijangka bermula September ini, lapor portal BBC.
Melalui peraturan baharu itu, pihak sekolah boleh mendenda sebanyak AS$12 (RM48.70) kepada mana-mana pelajar yang menghilangkan atau terlupa membawa peralatan berkenaan.
Namun seorang pelajar perempuan bertindak memuat naik peraturan berkenaan dalam Twitter dan merayu orang ramai untuk menandatangani petisyen bagi membantah arahan tersebut.
Jelas pelajar berkenaan, dia tidak pasti sama ada arahan sekolah itu untuk menggunakan ‘rantai kunci elektronik’ mematuhi undang-undang.
Alat berkenaan telah dibangunkan oleh syarikat teknologi tempatan yang dikenali sebagai NewSchool.
Stesen televisyen BFMTV melaporkan alat itu membolehkan para guru melakukan pemeriksaan segera jika para pelajar tidak hadir berbanding amalan sekarang yang memerlukan guru melihat buku kedatangan yang disifatkan membuang masa.
Berdasarkan peraturan baharu itu, alat berkenaan juga boleh membantu guru untuk memeriksa kehadiran pelajar bagi aktiviti sukan, perpustakaan, latihan kebakaran dan aktiviti luar sekolah.










