KUALA LUMPUR – Pemilik jenama teh berbuih, Tealive, Loob Holding Sdn. Bhd. mengumumkan bahawa semua cawangan Tealive akan beroperasi seperti biasa.
Loob Holding dalam satu kenyataan berkata peguam syarikat itu memaklumkan bahawa Mahkamah Persekutuan pada hari ini telah membenarkan permohonannya untuk menangguhkan perintah Mahkamah Rayuan bertarikh 27 Jun.
“Bagi pihak Tealive, kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua orang atas kepercayaan dan sokongan mereka yang berterusan. Peguam-peguam kami akan terus mengendalikan hal mahkamah sehingga resolusi akhir,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Bryan Loo.
Pada 27 Jun 2018, Mahkamah Rayuan membenarkan injunksi syarikat Taiwan, La Kaffa International Co. Ltd terhadap Loob Holding daripada menjalankan perniagaan minuman teh berbuih.
Pertikaian antara Loob Holding dan La Kaffa bermula pada awal Disember 2016 apabila syarikat Taiwan itu menamatkan perjanjian francais induk di antara kedua belah pihak walaupun masih ada baki 20 tahun dalam perjanjian itu. – Bernama










