Tangani krisis sosial yang kian getir - Utusan Malaysia

Tangani krisis sosial yang kian getir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MINGGU lepas, seorang bayi dicampak dari tingkat dua bangunan Pusat Hentian Kajang, Sela­ngor dan wanita warga asing yang bertanggungjawab melakukan perkara tersebut sudah ditahan.

Terbaharu, seorang bayi perempuan juga baharu dilahirkan dicampak dan ditemukan dalam keadaan perut terburai tersangkut di atas jambatan Sungai Dua Klang, Selangor.

Sebenarnya, sebelum ini banyak lagi kejadian seperti ini berlaku di negara kita. Ini bukan perkara baru. Kes-kes buang bayi ini menunjukkan betapa krisis sosial di Malaysia kian meruncing. Itu belum lagi dikira kes anak membunuh ibu bapa, rogol, penderaan dan sebagainya.

Di negara ini, lambakan warga asing di sesetengah tempat menjadikan kita sukar mengawal aktiviti serta pelbagai tingkah laku mereka. Di sesetengah tempat, kita seolah-olah tidak tahu status hubungan dalam kalangan warga asing lelaki dan wanita yang tinggal serumah, menyewa bilik di pangsapuri dan sebagainya.

Di kawasan-kawasan pinggir bandar, yang mana terdapat banyak rumah sewa yang dihuni warga asing, siapakah yang berani hendak bertanya atau mengambil tahu mengenai status hubungan lelaki dan perempuan yang kadang-kadang tinggal berpasang-pasangan dalam sebuah rumah? Kemudian ada pula orang luar yang bebas keluar masuk ke rumah tersebut.

Itu belum lagi ditambah dengan masalah yang ditimbulkan oleh warga tempatan terutama dalam kala­ngan remaja yang bergaul bebas, apatah lagi di kawasan bandar. Pergaulan lelaki dan perempuan, pelbagai majlis dan perjumpaan sosial yang diaturkan, berfoya-foya di pusat hiburan dan sebagainya memudahkan remaja terjerumus ke dalam kancah sosial.

Tambah memburukkan keadaan, sekiranya anak-anak remaja tinggal berjauhan dengan keluarga, banyak masalah boleh berlaku jika pelbagai godaan yang me­ngitari hidup mereka tidak dapat ditepis. Mereka ini mudah terjebak dalam pergaulan bebas sehingga melahirkan anak luar nikah. Anak-anak yang tidak berdosa ini dibuang kerana takut dimarahi keluarga dan malu de­ngan status anak luar nikah itu.

Pelbagai pihak mesti turun padang menangani krisis sosial selain pihak kerajaan. Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seharusnya memainkan peranan dengan me­ngadakan pelbagai siri ceramah dan aktiviti positif ke arah membentuk remaja menjadi insan yang mempunyai peribadi mulia dan tidak menimbulkan masalah dalam bermasyarakat.

Ibu bapa mestilah memantau anak-anak mereka walaupun berjauhan dengan anak-anak dengan menghubungi mereka kerana pada masa ini terdapat banyak kemudahan untuk berbuat demikian. Anak-anak yang dilepaskan keluar dari rumah tidak boleh dibiarkan begitu sahaja tanpa perhatian kerana dugaan dan cabaran banyak menanti mereka di luar.

Di kawasan bandar, menjadi tanggungjawab pihak berkuasa menangani krisis sosial dengan memberi penekanan ke arah membanteras salah laku remaja termasuk memantau lokasi yang menjadi tumpuan aktiviti pergaulan bebas golongan remaja.

Di kawasan-kawasan perumahan pula, ketua penduduk mesti mengenal pasti rumah-rumah yang dihuni oleh warga asing dan memastikan status pekerjaan serta aktiviti harian mereka. Ketua penduduk juga mesti memastikan anak-anak bujang yang tinggal beramai-ramai tidak ­melakukan aktiviti tidak bermoral.

Media massa mestilah memainkan peranan membendung krisis sosial dengan menyiarkan pelbagai bentuk iklan agar gejala ini tidak berterusan dan menjadi lebih parah. Penekanan ke atas tindakan undang-undang mestilah diperhebat agar orang ramai berfikir ba­nyak kali sebelum melakukan jenayah-jenayah seperti buang bayi ini.

Penting sekali, setiap individu mestilah berfikir masak-masak dan menggunakan pertimbangan sebelum melakukan sesuatu tindakan. Fikirkanlah rasionalnya, kesannya dan penilaian orang lain terhadap diri kita.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN