KUALA LUMPUR 17 Julai – Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin mahu isu cukai barangan dan perkhidmatan (GST) ditangani kerajaan Pakatan Harapan (PH) secara rasional dan bukannya berdasarkan fahaman politik.
Beliau mencadangkan kepada kerajaan supaya menyelaraskan kadar cukai tersebut agar boleh memberi hasil yang neutral berbanding pelaksanaan sistem cukai jualan dan perkhidmatan (SST).
Pada masa sama, Khairy berkata, kerajaan tidak boleh membiarkan politik menentukan dasar ekonomi negara.
“Saya menyedari bahawa GST menjadi isu politik yang besar untuk kerajaan tetapi mereka perlu tangani dengan rasional.
“Jangan hapuskan GST hanya kerana kepentingan politik. Selaraskan kadar cukai itu dan hasilnya akan menjadi neutral kepada pelaksanaan SST,” katanya dalam laman Twitter miliknya hari ini.
Semalam, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan bahawa Akta SST dijangka dibentangkan dalam Dewan Rakyat bulan depan sebelum diluluskan dan seterusnya dilaksanakan bermula 1 September ini.
Guan Eng berkata, di bawah akta yang dicadangkan itu, cukai jualan akan dikenakan sebanyak 10 peratus sementara cukai perkhidmatan pula sebanyak enam peratus. – UTUSAN ONLINE










