KUALA LUMPUR 24 Julai – Apa guna sediakan tandas jika akhirnya terbiar tanpa diurus. Itu keresahan dan kekecewaan yang dikongsi orang ramai berhubung masalah tandas-tandas awam yang tidak diselenggara dengan baik oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).
Bertindak kepada aduan orang ramai mengenai perkara itu, Utusan Malaysia baru-baru ini ke taman rekreasi Tasik Cempaka di Bandar Baru Bangi dan Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bandar Tun Razak untuk melihat kesulitan yang dihadapi orang ramai.
Tinjauan di Tasik Cempaka, lokasi yang menjadi tumpuan ribuan pengunjung terutama pada setiap hujung minggu mendapati tandas awam yang terletak bersebelahan laluan Persiaran Pusat Bandar 1 sudah bertukar menjadi ‘rumah hantu’.
Dari luar, bangunan yang dahulunya terbina cantik itu kelihatan cukup usang seperti sudah bertahun-tahun tidak diselenggara dengan pintu yang sudah terkopak dan tertanggal, lantai yang berselut, himpunan sampah sarap dan bau yang meloyakan.
Walaupun terdapat satu lagi kemudahan tandas disediakan di sebelah jalan masuk utama, namun kedudukannya terlalu jauh bagi yang bersenam di seberang tasik.
Sehubungan itu orang ramai mahu pihak berkuasa memberi perhatian dan mengambil tindakan terhadap masalah yang dihadapi mereka ketika beriadah di taman berkenaan.
Sementara itu, lain pula cerita sebuah tandas berhampiran stesen LRT Bandar Tun Razak yang didakwa telah ditutup sejak lebih tiga tahun lalu.
Penutupan tandas tersebut menimbulkan kesulitan kepada orang ramai kerana ia merupakan satu-satunya kemudahan tandas yang terdekat dengan stesen LRT berkenaan.
Masalah itu menyebabkan ada segelintir pengguna menjadikan kawasan berhampiran tandas dan kawasan perumahan di situ sebagai tempat untuk ‘melepaskan hajat’.
Selain itu, perkara tersebut juga menimbulkan rasa tidak puas hati pemandu teksi yang menghabiskan banyak masa di situ untuk menunggu penumpang.
Kesulitan itu menyebabkan mereka terpaksa keluar jauh untuk mencari tandas sedangkan kemudahan sudah tersedia tetapi ditutup tanpa sebab yang munasabah.
Isu tandas-tandas awam yang tidak diselenggara dengan baik ini sepatutnya diberi perhatian oleh PBT kerana ia melibatkan keselesaan dan keselamatan orang ramai.
Sekiranya kerja-kerja penyelenggaraan terlalu rumit dilakukan, pengurusan tandas itu wajar diserahkan kepada pihak ketiga yang boleh menjaga kebersihannya.










