Tak salah berkawan ramai - Utusan Malaysia

Tak salah berkawan ramai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKAN sekali dua dia terpalit kontroversi yang hampir sama bunyinya. Bercinta atau tidak adalah persoalan yang sering kali singgah tatkala bersua dengan pelakon kecil molek, Ruhainies.

Bezanya, setiap kali persoalan itu ditanya, nama lelaki berlainan yang disebut sehingga ada yang menggelarkan pelakon ini playgirl (suka bertukar-tukar teman lelaki).

Malah baru-baru ini sekali lagi namanya terpalit apabila ada pihak mendakwa dia sedang menjalinkan hubungan cinta dengan penyerang bola sepak Johor Darul Takzim (JDT), Safawi Rashid.

Tidak pernah meletakkan sebarang tanda cinta dalam perhubungannya dengan mana-mana lelaki, Ruhainies seboleh-bolehnya tidak mahu lagi menjawab soalan-soalan panas sepert itu.

Tetapi dia sedar, kontroversi adalah asam garam bergelar anak seni. Tidak melenting atau bermasam muka, dia cekal walaupun ditanya soalan bertubi-tubi demi mendapatkan jawapan.

Kepada Meg HITS, pelakon yang meningkat naik menerusi drama popular, Hello Mr. Perfect ini merungkai persoalan berbangkit. Benarkah dia sedang hangat bercinta? Ini jawapan gadis yang bakal menyambut ulang tahun ke-26 Jumaat ini.

MEGA HITS: Tak perlu berkias, betulkah sedang asyik bercinta sekarang?

RUHAINIES: Sekali lagi saya tegaskan, dakwaan tersebut tidak benar. Saya masih solo dan bebas untuk berkawan dengan mana-mana lelaki.

Dakwaan Ruhainies bercinta dengan Safawi? Tidak benar?

Kami kawan sahaja. Ya, tak dinafikan saya ada keluar dengan dia tetapi sekadar atas dasar berkawan. Tidak lebih daripada itu. Saya tak rasa isu seperti ini seharusnya diperbesar-besarkan.

Bila Ruhainies mula berkenalan dengan Safawi?

Sebenarnya kami mula berkawan sekitar dua tahun lalu menerusi pengurus saya. Saya tak kenal pun dia siapa sebab saya memang tak tahu apa-apa fasal bola sepak.

Jadi, apabila kenal kami selesa sebagai kawan, tak ada masalah setakat ini untuk berkawan. Saya tak mahu fikir tentang fasa seterusnya sebab (kami) memang sekadar berkawan.

Ruhainies sering dikaitkan dengan kontroversi sama, tak rimas?

Kalau hendak kata rimas itu tidak. Saya rasa perkara itu comel. Tapi yang peliknya, ada ramai artis wanita yang memuat naik gambar dengan teman rapat atau teman lelaki tetapi kenapa saya seorang yang dilabel playgirl.

Dari dahulu saya asyik dikaitkan dengan beberapa orang pelakon lelaki. Malah dengan suami orang pun saya pernah digosipkan. Itu (yang) saya pelik.

Pernah rasa tertekan dengan kontroversi seperti ini?

Tertekan itu tidak. Bagi saya itu semua asam garam dunia seni. Orang ambil tahu fasal kita, jadi saya okey sahaja. Selagi perkara tersebut tidak melampaui batas, saya okey.

Adakah Ruhanies takut untuk berkawan rapat dengan mana-mana lelaki disebabkan kontroversi seperti ini?

Tidak sampai ke tahap itu. Bagi saya tak salah untuk berkawan dengan sesiapa pun. Saya sendiri memang tak ramai kawan perempuan jadi mungkin orang lihat saya lebih berkawan dengan lelaki.

Lebih dua tahun bergelar anak seni dan pernah melalui pelbagai episod panas, adakah pengalaman itu banyak mematangkan Ruhainies?

Sejujurnya, memang kontroversi semua ini mengajar saya untuk lebih sabar dan matang dalam mengendalikan perkara tersebut. Macam-macam cerita panas saya sudah lalui.

Tapi itu memberi pengajaran dan pengalaman untuk saya lebih berhati-hati dalam mengatur langkah seni. Saya selesa untuk menjadi diri sendiri.

Ruhainies banyak kali dikritik ketika mula-mula berlakon, bagaimana penerimaan peminat sekarang?

Alhamdulillah, sekarang sudah jarang netizen meninggalkan komen mengecam lakonan saya. Saya ambil pengalaman lepas sebagai ruang untuk perbaiki lakonan dan diri sendiri.

Apa projek baharu, dengar cerita sudah bergelar produser?

Saya baru tamat penggambaran drama Anugerah Cinta Aisyah dengan Idris Khan dan selepas ini, saya akan terlibat dalam telemovie, Con Girl selaku pelakon dan produser eksekutif.

Saya mahu mencuba sesuatu yang baharu sebab itu saya bertatih bekerjasama dengan Zeel Production untuk telefilem tersebut. Malah saya juga dilantik sebagai duta kepada dua produk baharu, Vibe (kosmetik) dan Guerisson (penjagaan kulit wajah).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×