KUALA LUMPUR 30 Julai – Mahkamah Tinggi di sini mencadangkan supaya kes saman 10 waris dan tiga bekas pelajar Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah terhadap pemilik pusat tahfiz tersebut serta empat yang lain diselesaikan melalui proses mediasi.
Saman berkenaan difailkan sebahagian waris mangsa kebakaran pusat tahfiz berkenaan pada Jun lalu dengan menamakan pemilik pusat itu, Mohd. Zahid Mahmood, 70, dan isterinya, Samsurini Mohd. Anuwi, 37, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan dua remaja lelaki yang didakwa bersama-sama membunuh 21 pelajar dan dua warden pusat tahfiz berkenaan sebagai defendan pertama hingga kelima.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh peguam Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar yang mewakili defendan pertama dan kedua selepas pengurusan kes di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Darryl Goon Siew Chye hari ini.
Yang turut hadir ketika pengurusan kes di kamar hakim di sini itu ialah peguam Mohaji Selamat bagi pihak semua waris dan bekas pelajar pusat tahfiz berkenaan selaku pihak plaintif serta peguam Fakhrul Azman Abu Hassan yang bertindak bagi pihak MAIWP.
Ahmad Zaharil ketika ditemui pemberita berkata, mahkamah meminta semua pihak untuk cuba mencari penyelesaian bagi kes saman tersebut dan menetapkan 1 Oktober ini untuk pengurusan kes selanjutnya.
Sementara itu, Mohaji berkata, mahkamah turut memerintahkan pihak Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah mengemukakan penyata bank berhubung kutipan derma bermula tarikh kejadian kebakaran iaitu pada 14 September tahun lalu sehingga kini serta laporan audit kutipan derma kepada pihaknya selewat-lewatnya 21 Ogos ini.
Dalam writ saman yang difailkan itu, pihak plaintif memohon deklarasi bahawa defendan pertama hingga ketiga melakukan kecuaian mewujudkan peralatan mencegah kebakaran di tangga jalan keluar dan pintu asrama selain menyediakan dua laluan keluar di bilik asrama di premis terlibat.
Malah, pihak defendan pertama hingga ketiga didakwa cuai dengan membenarkan bangunan yang belum mendapat Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) dijadikan sebagai asrama selain didakwa gagal menyediakan tempat tinggal yang selamat kepada pelajar sehingga menyebabkan mereka menjadi mangsa kebakaran tersebut.
Pihak plaintif turut menuntut deklarasi supaya semua mangsa yang meninggal dunia dan cedera menerima 100 peratus wang yang didermakan khusus untuk mangsa kebakaran, serta menerima 80 peratus daripada derma umum kepada mangsa kebakaran, dengan kedua-dua pembahagiannya tertakluk kepada mekanisme yang ditentukan mahkamah.
Plaintif turut memohon deklarasi bahawa semua derma yang direkodkan dalam akaun milik defendan pertama dan kedua dibahagikan kepada semua waris memandangkan pusat tahfiz berkenaan tidak didaftarkan sebagai sebuah sekolah yang sah di sisi undang-undang serta perintah injunksi bagi melarang dan menghalang defendan daripada mengeluarkan atau membelanjakan semua wang derma yang diterima.
Mereka juga memohon ganti rugi kesedihan RM10,000, ganti rugi kesakitan dan penderitaan, ganti rugi kejutan besar dan gementar, ganti rugi kos pengebumian termasuk kenduri tahlil sebanyak RM5,000, selain kos dan relif lain yang sesuai.
Tragedi kebakaran pusat tahfiz yang terletak di Kampung Datuk Keramat, berlaku pada pukul 5.15 pagi, 14 September tahun lalu itu menyebabkan 21 pelajar dan dua tenaga pengajar maut selepas terperangkap dalam kebakaran bangunan sementara itu. – UTUSAN ONLINE










