KANGAR – Tahap kesedaran rakyat Perlis mengenai kepentingan dan amalan kitar semula masih rendah iaitu kurang 50 peratus merangkumi 25,000 buah rumah di negeri itu menurut syarikat pengendali pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam, Kumpulan Syarikat E-Idaman.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat E-Idaman, Mhd. Saiful Anuar Zainal berkata, peratusan itu berdasarkan kajian dan penyelidikan yang dilakukan pihaknya terhadap isi rumah di kawasan perumahan di Perlis.
“Kita mendapati terdapat barangan kitar semula yang terdapat dalam tong sampah bersama sisa pepejal lain selain kurangnya penggunaan sangkar kitar semula yang disediakan.
“Konsumer sering tertanya apa yang mereka boleh dapat untuk amalan kitar semula ini jadi kami memperkenalkan kad debit dengan mata ganjaran menerusi program Recycle for Life (RFL),” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata sedemikian pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri E-Idaman Perlis 2018 di Kelab Golf Putra hari ini.
Dalam pada itu, Mhd. Saiful berkata, sepanjang bulan Syawal ini terdapat peningkatan 20 hingga 30 peratus sisa pepejal yang dikutip di Perlis.
“Kira-kira 130 tan sisa pepejal dikutip di seluruh Perlis setiap hari,” katanya. – K! ONLINE











