Tadbir urus dinamik mantapkan sektor awam - Utusan Malaysia

Tadbir urus dinamik mantapkan sektor awam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ACAPKALI kita mendengar istilah tadbir urus dibahaskan dalam kalangan rakyat dan pemimpin. Hal ini kerana tiada siapa boleh menafikan amalan tadbir urus yang baik cukup penting bagi mana-mana organisasi. Ini jelas kelihatan bukan sahaja untuk sektor swasta tetapi juga melibatkan sektor awam.

Tanpa tadbir urus yang baik, sektor awam sukar untuk memastikan sistem penyampaiannya cekap dan berkesan. Walhal, sistem penyampaian sektor awam yang cekap dan berkesan mencerminkan kualiti perkhid­matan sektor awam kepada rakyat Malaysia.

Dalam konteks ini, tadbir urus sektor awam yang mantap banyak didasari oleh pemain-pemainnya ter­utamanya melibatkan akauntan dan juruaudit dalaman sektor awam. Kenapakah kedua-dua pemain dalam sektor awam ini cukup penting? Tidak lain tidak bukan ke­rana kedua-duanya memiliki peranan cukup besar dalam memastikan aspek sumber kewangan dan bukan kewangan ditadbir urus dengan baik.

Memuatkan artikel berkaitan…

Memandangkan betapa pentingnya peranan mereka ini, Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui inisiatif para pensyarah unit audit Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA) dan dibantu oleh pegawai pentadbirannya mengadakan Seminar Kewa­ngan dan Pengauditan Sektor Awam (SKPSA) 2018 di Kota Kinabalu, minggu ini. Lebih khusus lagi, seminar anjuran unit audit TISSA buat kali ketujuh berturut-turut dipengerusikan oleh pakar perakaunan forensik dan pengauditan, Dr. Rose Shamsiah Samsudin ini berlangsung pada 2 hingga 4 Julai dengan bertemakan “Tadbir Urus Yang Dinamik Mewujudkan Kebaikan, Menolak Keburukan dan Menghilang Kemudaratan”.

Seminar ini mendapat sambutan amat menggalakkan dalam kalangan akauntan dan juruaudit dalaman sektor awam kerana melibatkan penceramah-penceramah jemputan yang cukup berwibawa dan berpengalaman seperti bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang merangkap Profesor Adjung TISSA yang bertindak sebagai moderator salah satu sesi ceramah.

Membaca temanya sahaja cukup menggambarkan betapa tadbir urus itu sendiri adalah sesuatu yang dinamik. Dinamik bermaksud tadbir urus sentiasa berubah mengikut keadaan dan masa. Yang kekal sama ialah integriti yang menjadi tunjang kepada amalan tadbir urus yang baik dalam sektor awam.

Tanpa integriti, maka musnahlah nilai ketanggungjawaban yang diamanahkan oleh rakyat kepada setiap entiti sektor awam. Malah, integriti itu juga adalah teras untuk melestarikan dan mengukuhkan lagi kemapanan sektor awam pada masa hadapan. Sebab itulah integriti tidak boleh dikesampingkan. Malah, melalui integritilah bermulanya tadbir urus yang dinamik yang mampu mewujudkan kebaikan, menolak segala keburukan dan seterusnya menghilang kemudaratan yang selama ini dialami oleh sektor awam.

Dalam konteks ini, kerajaan amat mengutamakan amalan tadbir urus yang baik bagi merealisasikan sifar pembaziran, pemborosan dan ketirisan. Sewajarnya amalan tiada tolak ansur bagi sebarang pembaziran, pemborosan dan ketirisan dalam sektor awam akan meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan sektor awam. Bagaimana mungkin sektor awam dapat mencapai sistem penyampaian yang cekap dan berkesan jika pembaziran, pemborosan dan ketirisan tidak dapat ditangani dengan secara menyeluruh?

Hal ini perlu ditekankan memandangkan setiap sen wang rakyat cukup berharga untuk ditadbir urus dengan baik, maka tadbir urus tidak boleh hanya kekal sama dan tidak berubah sebagaimana amalan tadbir urus yang lalu. Misalnya, sektor awam kini dituntut untuk mengurus risiko dengan baik agar dapat mengurangkan sebarang permasalahan ketidaktentuan yang boleh mengakibatkan kesan yang kurang baik kepada sistem penyampaiannya.

Sebab itulah, dalam hal ini kita tidak boleh menafikan peranan akauntan dan juruaudit dalaman yang menjadi antara nadi utama kekuatan sektor awam. Misalnya, akauntan akan berusaha setiap sen wang dijaga dengan baik agar dapat disalurkan untuk kegunaan pelanggan yang juga rakyat Malaysia.

Juruaudit dalaman pula sentiasa bertanggungjawab untuk memastikan tata urus dan prosedur kewangan dan bukan kewangan dilaksanakan dengan baik dan be­tul bagi mengurangkan permasalahan yang boleh menjejaskan kecekapan dan keberkesanan sektor awam. Malah, juruaudit dalaman sektor awam perlu menge­tahui peranannya untuk menghadapi isu pembaziran, pemborosan dan ketirisan serta penyelewengan yang mungkin berlaku dalam organisasi masing-masing.

Sebarang isu yang melibatkan pembaziran, pemborosan dan ketirisan serta penyelewengan perlu ditangani dengan baik supaya tidak mendatangkan keburukan besar kepada sektor awam. Perkara ini tidak boleh sesekali dipandang remeh memandangkan sektor awam menjadi pemangkin kepada sektor-sektor yang lain terutamanya sektor swasta.

Misalnya, tiada toleransi dalam gejala rasuah memandangkan rasuah boleh meningkatkan kos terhadap sektor swasta. Peningkatan kos dalam sektor swasta akan menyebabkan kos produk yang dikeluarkan oleh mereka juga akan meningkat tinggi.

Justeru, mahu tidak mahu, kita perlu mengakui bahawa amalan tadbir urus perlu sentiasa dinamik agar setiap tindakan oleh pemain-pemain sektor awam khususnya para akauntan dan juruaudit dapat memantapkan lagi kualiti perkhidmatan sektor awam bagi mensejahterakan kehidupan rakyat Malaysia.

DR. ROHAMI SHAFIE ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz, Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN