SYDNEY: Puting beliung melanda sebuah bandar di Australia, menyebabkan perabot luar rumah berterbangan dan orang ramai yang melihat kejadian itu terkejut serta ketakutan.
Puting beliung itu melanda bandar Ulladulla, kira-kira 226 kilometer di selatan Sydney, selepas tengah hari pada Sabtu.
Video yang dikongsi di media sosial menunjukkan puting beliung melanda kawasan perumahan, ketika angin kencang dan hujan lebat membadai rumah serta halaman penduduk.
Pasukan kecemasan menerima lebih lebih 12 panggilan berkaitan kejadian itu, menurut penyiar nasional ABC, dengan pokok tumbang menghempap kabel elektrik.
Pemilik sebuah kafe tempatan, Julius Machado berkata, ribut itu melanda dalam sekelip mata.
“Kami terpaksa menutup operasi lebih awal untuk melakukan kerja pembersihan. Semua gelas pecah, pinggan dan gelas bertaburan di mana-mana. Keadan memang bersepah dan sangat teruk,” katanya kepada ABC.
Biro Meteorologi Australia berkata, kejadian puting beliung di kawasan yang begitu pesat dibangunkan itu sangat jarang berlaku.
“Amat jarang untuk melihat kejadian seperti ini di kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi. Bangunan mengalami kerosakan dan pokok tumbang,” kata biro itu.
Puting beliung jarang berlaku di Australia, dengan Biro Meteorologi melaporkan kira-kira 50 kejadian direkodkan dalam setahun.
Puting beliung itu berlaku ketika beberapa kawasan di timur dan selatan Australia dilanda ribut kuat serta hujan lebat.
Di Sydney, bandar terbesar Australia, hujan lebat menyebabkan beberapa jalan dinaiki air susulan hujan yang turun dengan begitu lebat pada petang Sabtu.-AFP











