MUAR: Penganjuran perlumbaan basikal berprestij, Le Tour de Langkawi 2026 (LTdL26) disifatkan mencapai kejayaan luar biasa dan memenuhi objektif penganjur, meskipun mempertaruhkan laluan paling mencabar dalam sejarah penganjurannya.
Ketua Pegawai Operasi (COO) LTdL, Emir Abdul Jalal berkata, maklum balas menyeluruh daripada Panel Komisar Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) yang diketuai Paul Watson memberi gambaran positif terhadap kualiti penganjuran LTdL26 yang melabuhkan tirainya hari ini.
“Paul Watson amat kagum dengan penganjuran kita terutamanya dari sudut keselamatan yang dikawal rapi oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang disifatkan sempurna tanpa sebarang isu.
“Malah, beliau turut memuji dokumentasi manual perlumbaan kita yang disifatkan sangat lengkap sehingga dianggap lebih baik berbanding manual perlumbaan Le Tour de France.
“Jadi, komen yang kita terima itu saya rasa sangat-sangat positif dan kita pun jangka akan sekali lagi diberikan penarafan ‘all green’, insya-Allah,” katanya ketika ditemui pada peringkat terakhir perlumbaan di sini, hari ini.
Mengulas mengenai aspek teknikal perlumbaan, Emir mengakui pada awalnya wujud kerisauan apabila memperkenalkan tiga zon pendakian sukar termasuk pengenalan laluan baharu di Gunung Jerai, selain Genting Highlands.
Bagaimanapun, kebimbangan terhadap keupayaan pelumba tempatan melepasi had masa terpadam apabila kesemua pelumba Malaysia daripada skuad kebangsaan, Terengganu Cycling Team (TSG), Malaysia Pro Cycling (MPC) dan St George berjaya bertahan sehingga ke garisan penamat Peringkat 8.
Dalam pada itu, Emir menyifatkan saingan LTdL26 sangat dinamik dan memuaskan hati pasukan profesional antarabangsa kerana menawarkan persaingan yang terbuka dan seimbang tanpa didominasi oleh seorang pelumba sahaja.
“Ketiga-tiga peringkat pendakian dimenangi oleh pelumba yang berbeza. Begitu juga kedudukan jersi utama seperti Jersi Kuning (dimenangi Jasch Lennart), Raja Bukit (Lennart) dan Raja Pecut (Mateo Malucelli) yang terus terbuka sehingga ke kilometer terakhir menuju ke Putrajaya,” katanya. – UTUSAN











