KUALA LUMPUR 6 Julai – Sumbangan terkumpul Tabung Solidariti Bebaskan Datuk Seri Najib Tun Razak kini sudah mencecah RM204,393 setakat pukul 3.30 petang tadi.
Naib Ketua UMNO Bahagian Seputeh, Datuk Razlan Rafii berkata, sejak dilancarkan dua hari lalu, beliau menerima banyak mesej menerusi aplikasi WhatsApp dan khidmat pesanan ringkas (SMS) tentang hasrat orang ramai untuk menyumbang sebagai membalas jasa baik bekas Perdana Menteri tersebut.
“Lebih 1,000 WhatsApp dan SMS dihantar kepada saya dengan slip sumbangan, semuanya mendoakan @NajibRazak cekal. Mereka semua ikhlas menyumbang, ada yang menangis menelefon saya, Najib banyak bantu orang kita kena bantu dia.
“Tuan penyumbang ini ada baki RM123 sahaja tapi menyumbang RM100 kepada @NajibRazak. Seikhlasnya rakyat terus menyayangi DS Najib teruskan berjuang,” katanya dalam status di twitter beliau hari ini.
Tabung tersebut diwujudkan selepas menyedari Najib membuat rayuan mencagar rumahnya bagi membayar wang jaminan RM1 juta yang ditetapkan Mahkamah Tinggi, di sini kelmarin.
Orang ramai yang ingin menyumbang kepada tabung tersebut boleh menyalurkan derma masing-masing ke dalam akaun CIMB Kelab Belia Berkhidmat 8601952060. – UTUSAN ONLINE











