KUALA LUMPUR 19 Julai – Seluruh warga Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) menzahirkan rasa gembira dan bersyukur kerana organisasi itu diberi jaminan tidak akan ditutup oleh Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik walaupun terdapat desas-desus sebaliknya.
![]() |
|
Mohd. Khair Ngadiron
|
Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Khair Ngadiron berkata, pihaknya menghargai jaminan yang diberikan oleh Maszlee sewaktu menghadiri program Bicara Minda di Kompleks Karangkraf, Shah Alam, dekat sini hari ini.
Menurut beliau, kenyataan Maszlee yang mahu memperkasa ITBM dan beberapa organisasi lain sekali gus menepis persepsi dan melegakan kebimbangan banyak pihak mengenai khabar angin bahawa institut berkenaan akan ditutup.
“Kami di ITBM berterima kasih kepada Maszlee yang akan memperkasa semua agensi di bawah Kementerian Pendidikan iaitu ITBM, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Perbadanan Kota Buku dan Majlis Buku Kebangsaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











