PUTRAJAYA 9 Julai – Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak menolak kemungkinan terdapat unsur sabotaj berhubung penyebaran senarai nama pegawainya yang dikeluarkan menerusi laman web rasmi kementerian itu memandangkan masih belum ada lantikan rasmi dibuat.
Beliau berkata, berikutan itu, satu siasatan dalaman akan dibuat bagi memastikan tindakan susulan dapat diambil.
“Saya sudah maklumkan kepada Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan untuk cari macam mana boleh ada senarai nama berkenaan dan saya rasa ada unsur sabotaj.
“Kita akan cari (pelaku), tindakan susulan akan diambil. Setakat ini tidak pasti sama ada sabotaj dalaman atau luaran, perlu tunggu hingga siasatan selesai,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai kontroversi dakwaan pelantikan Numan Afifi sebagai Pegawai Akhbar Menteri Belia dan Sukan yang dikatakan cenderung memperjuangkan hak lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) di negara ini.
Kontroversi yang melanda Numan bukan sahaja mendapat kritikan pelbagai pihak malah mendapat simpati golongan LGBT sehingga tersebarnya mesej melalui media sosial bahawa terdapat satu perhimpunan oleh Gerakan Gay Malaysia (GGM) bagi membantah pemecatannya di KBS di sini pagi ini.
Bagaimanapun, kumpulan wartawan yang menunggu sejak pukul 7 pagi mendapati tiada sesiapa pun yang menghadiri perhimpunan tersebut.
Sementara itu, mengulas mengenai peranan Numan di KBS, Syed Saddiq berkata, Numan tidak memegang jawatan rasmi tersebut dan hanya berperanan membantunya terutamanya ketika awal pembabitannya dalam politik.-UTUSAN ONLINE









