ARAU 15 Julai – PPBM negeri ini mengesahkan dua bekas wakil rakyat Barisan Nasional (BN) iaitu Datuk Seri Syed Razlan Putra Jamalullail dan Jafperi Othman menyertai parti itu selepas hilang kepercayaan kepada UMNO.
Pengerusi PPBM negeri, Ameir Hassan berkata, Syed Razlan yang merupakan bekas Ahli Parlimen Arau dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pauh diterima secara rasmi sebagai ahli PPBM hari ini selepas mengemukakan permohonan sejak tiga minggu lalu.
Katanya, manakala bekas ADUN Guar Sanji, Jafperi Othman diterima menyertai parti itu pada bulan lalu.
“Kedua-dua mereka menjadi ahli PPBM di Bahagian Arau. Kita menerima kemasukkan kedua pemimpin tersebut adalah berdasarkan semangat mereka yang ingin bersama PPBM bukan kerana kedudukan semata-mata,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis kesyukuran dan ramah mesra PPBM Bahagian Arau di kediaman Ameir di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) merangkap Ahli Majlis Tertinggi PPBM, Wan Saiful Wan Jan; Syed Razlan; Jafperi dan pemimpin-pemimpin PPBM serta Pakatan Harapan.
Untuk rekod, Syed Razlan yang merupakan antara pemimpin UMNO terkenal di negeri ini menjadi Ahli Parlimen Arau pada tahun 2004 dan ADUN Pauh, pada 2008.
Manakala Jafperi adalah bekas ADUN Guar Sanji selama tiga penggal sejak 2004 sebelum namanya digugurkan sebagai calon BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Sementara itu, Ameir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan negeri berkata, ADUN Tambung Tulang, Datuk Ismail Kassim diminta merayu kepada PPBM pusat sekiranya adik Shahidan Kassim itu masih berhasrat untuk menyertai parti itu.
“Di pihak saya hanya meletakkan dasar bahawa kami tidak menerima mana-mana wakil rakyat BN yang ingin menyertai PPBM atau Pakatan Harapan di Perlis.
“Bagaimanapun, kalau PPBM pusat menerima kemasukan Ismail, kita di peringkat negeri akan akur dan menerimanya,” katanya,” katanya.
Dalam pada itu, Ameir turut mengumumkan perlantikan Wan Saiful yang juga merupakan anak jati negeri ini sebagai Setiausaha PPBM Perlis dan Naib Ketua PPBM Bahagian Arau.- UTUSAN ONLINE










