SHAH ALAM – Syed Badli Shah Syed Osman mengumumkan peletakan jawatan beliau sebagai Setiausaha Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor berkuat kuasa hari ini.
Beliau dalam satu kenyataan hari ini berkata, keputusan tersebut dibuat selepas mendapati kesuburan demokrasi telah mati dalam kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Selangor.
Sehubungan itu, Syed Badli menggesa kepimpinan utama PKR untuk campur tangan dalam isu pembahagian jawatan lantikan politik di Selangor yang jelas kelihatan berat sebelah.
Beliau mendakwa, PKR seharusnya membawa wadah perjuangan reformasi namun terdapat segelintir pemimpin di Selangor merosakkan parti dengan amalan budaya kronisme dan nepotisme.
“Saya menyelar sikap segelintir pemimpin PKR Selangor yang menjadikan habuan jawatan lantikan politik sebagai usaha untuk mengekalkan pengaruh dan kuasa.
“Secara jelas jawatan-jawatan lantikan politik hanya diberikan kepada mereka yang menunjukkan taat setia kepada kabilah tertentu dan tidak lagi menerusi merit,”dakwanya.
Syed Badli mendakwa dalam penentuan jawatan ahli majlis contohnya kelulusan, kebolehan, pengalaman dan sumbangan kepada perjuangan seharusnya menjadi kriteria penting.
Namun katanya, apa yang berlaku adalah sebaliknya apabila hirarki parti tidak lagi dihormati.
“Walaupun terdapat nama-nama yang sudah sekian lama berjuang dan dicadang secara rasmi dari peringkat cabang, mereka yang tidak sependapat akan dikesampingkan.
“Sikap mementingkan kroni semakin parah dalam usaha pembahagian jawatan politik apabila hanya pengikut kabilah tertentu yang akan diberikan habuan dari segi jawatan,”dakwanya. – K! ONLINE










