Syazleen minat kereta mainan - Utusan Malaysia

Syazleen minat kereta mainan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SANGGUP berhabisan sehingga RM500, hanya untuk membeli kereta mainan popular yang dipanggil ‘hotwheels’ menjadi minat gadis berusia 23 tahun ini.

Nuz Syazleen Bukhari yang mula meminati kereta mainan kecil hotwheels itu sejak di sekolah menengah lagi berkata, dia pernah membelanjakan harga itu untuk membeli tiga buah koleksi yang dijumpainya.

“Saya sering membeli koleksi hotwheels di Uptown Shah Alam kerana di situ terdapat kedai mempunyai banyak stok yang agak sukar diperolehi di tempat lain,” katanya kepada S2.

Nur Syazleen yang sedang melanjutkan pengajian dalam bidang industri rekaan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam berkata, dia membeli kesemua koleksi hotwheels dengan wang sendiri memandangkan dia bekerja secara sambilan di sebuah kafe dan berniaga secara online.

Menurutnya, ibunya tidak pernah bertanya mengenai harga hotwheels itu memandangkan ia kelihatan murah.

“Jika dia tahu, tentu dia marah kerana membazir. Tetapi saya mula membeli pada harga itu apabila sudah mempunyai pendapatan sendiri,” katanya.

Katanya, minatnya terhadap kereta menyebabkan dia mula mengumpul koleksi kereta mainan hotwheels dan kini sudah memiliki lebih 30 koleksi terhad di dalam simpanannya.

Selain mengumpul hotwheels, Nur Syazleen yang merupakan anak bongsu daripada empat beradik juga gemar menyanyi, menyelam dan melancong pada masa lapang.

Ditanya mengenai perancangan, Nur Syazleen yang akan tamat pengajian Julai nanti berkata, dia mahu mengimpikan untuk menjadi seorang ahli perniagaan berjaya.

Tambahnya, apa yang dilakukan sekarang termasuk berjinak-jinak dalam dunia perniagaan, sedikit sebanyak memberi pengalaman dan ilmu yang berguna untuk mengejar cita-citanya itu.

“Saya akan terus bekerja secara sambilan sebagai barista dan perlahan-lahan, saya cuba mencari pekerjaan tetap selepas tamat pengajian. Namun, saya akan beri keutamaan kepada perniagaan online,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN