KUALA LUMPUR 30 Julai – Bintang utama drama Nur, Syafiq Kyle, 26, kerugian sebanyak RM40,000 setelah menjadi mangsa sindiket penipuan wang haram yang dilakukan menggunakan panggilan telefon pada Sabtu lalu.
Menceritakan detik hitam itu, Syafiq mengakui dia telah diperdayakan oleh pemanggil menyamar sebagai kakitangan bank dan pegawai penguatkuasa yang merupakan modus operandi sindiket terbabit.
“Menerusi perbualan telefon tersebut, mereka meminta saya mendepositkan sejumlah wang ke dalam akaun yang diberikan kerana mendakwa saya telah lakukan kesalahan.
“Kejadian itu berlaku terlalu pantas, malah lakonan mereka menerusi panggilan yang dibuat amat meyakinkan, sekali gus berjaya memperdayakan saya,” beritahunya secara ringkas.
Ekoran itu, Syafiq atau nama sebenarnya Mohd. Syafiq Shamim Abdul Razak telah membuat laporan di Balai Polis Tun Abdul Razak di sini pada hari yang sama dia ditipu.
Bagaimanapun, aktor yang bakal tampil dalam filem Langsuir itu reda dan tabah atas ujian yang menimpa dirinya.
“Saya anggap duit yang hilang itu adalah rezeki orang lain, bukan milik saya,” ulasnya lagi.
Justeru, Syafiq memberi ingatan supaya orang ramai lebih berhati-hati jika mendapat panggilan yang mencurigakan dan menjadikan pengalaman pahitnya dilaluinya sebagai iktibar. – UTUSAN ONLINE










