Syabu bernilai RM7.8 juta dirampas sekitar Lembah Klang - Utusan Malaysia

Syabu bernilai RM7.8 juta dirampas sekitar Lembah Klang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMPANG JAYA – Seorang polis bantuan antara sepuluh lelaki yang ditahan selepas terlibat dalam kegiatan penyeludupan dan pengedaran dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM7.8 juta dalam beberapa serbuan di sekitar Lembah Klang pada Sabtu lalu.

Dalam serbuan pukul 7.40 pagi itu, polis telah merampas 156 kilogram (kg) syabu yang dibungkus dalam bungkusan teh Cina dan disembunyikan di dalam sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux di tempat letak kenderaan Tesco Extra, Ampang di sini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, tangkapan pertama dilakukan di tempat letak kenderaan Tesco Extra Ampang bersama syabu bernilai RM7.8 juta.

Katanya, susulan itu pihak polis melakukan tangkapan di sekitar Lembah Klang yang membawa kepada penangkapan keseluruhan seramai 10 orang termasuk seorang anggota polis bantuan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Jelas beliau, kesemua lelaki warga tempatan berusia lingkungan 25 hingga 46 tahun itu dipercayai terlibat dalam kegiatan penyeludupan dan pengedaran dadah di dalam dan luar negara.

“Kita tidak menolak Malaysia hanya dijadikan transit sementara sebelum dadah itu dihantar ke negara ketiga. Bagaimanapun polis masih menyiasat modus operandi sindiket itu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya di sini hari ini.

Menurutnya lagi, pihak polis turut menyita dua buah kenderaan jenis Toyota Alphard dan Mercedes-Benz CLS 350 milik sindiket berkenaan dalam serbuan tersebut.

“Selain itu, kita turut merampas barang kemas, jam tangan serta pelbagai mata wang asing.

“Kesemua suspek direman selama tujuh hari sehingga 28 Julai bagi membantu siasatan mengikut  Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya. – K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN