KUALA LUMPUR 25 Julai – Seorang lelaki yang dipercayai ada kaitan dengan kes pembunuhan seorang wanita yang dikerat beberapa bahagian sebelum diletakkan dalam dua beg di tepi jambatan Jalan Ipoh di sini pada 5 Julai lalu, ditahan pagi semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd. Isa berkata, suspek ditahan di sekitar Johor kira-kira pukul 2 pagi oleh sepasukan polis selepas mendapat maklumat mengenainya.
“Suspek kemudiannya telah direman selama tujuh hari di Lokap Berpusat, Ibu pejabat Polis Dareah Dang Wangi bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut,” katanya di sini hari ini.
Dalam kejadian 5 Julai lalu, seorang gelandangan menemukan sebuah beg yang berisi mayat wanita warga Bangladesh yang dikerat enam selepas terhidu bau busuk di tepi jambatan Jalan Ipoh di sini.
Lanjutan daripada laporan diterima, polis mendapati bukan satu tetapi dua bagasi mengandungi bahagian anggota badan mayat tersebut yang dikerat dan diletakkan pada jarak 20.6 meter dari beg pertama ditemukan. – UTUSAN ONLINE










