KEMAMAN – Seorang pembantu kedai wanita menghadapi saat cemas apabila diheret beberapa meter oleh seorang penjenayah yang cuba mencuri telefon bimbitnya di sebuah kedai menjual jamu dan ubat tradisional di sebuah pasar raya di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 7.30 malam itu, wanita berusia dalam lingkungan 20-an yang diheret dari kaunter pembayaran sehingga ke perkarangan kedai itu bernasib baik apabila dibantu orang ramai yang menyedari insiden itu.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd. Said Ibrahim berkata, sewaktu kejadian, mangsa didatangi suspek yang merupakam seorang lelaki berusia dalam lingkungan antara 20-an hingga 30-an.
“Suspek yang memakai baju t berwarna merah dan topi pada mulanya berpura-pura bertanya kepadanya tentang sebuah produk yang dipamerkan berhampir kaunter pembayaran.
“Dia kemudiannya tiba-tiba mahu merampas telefon pintar yang sedang dipegang pembantu kedai itu sehingga berlaku pergelutan yang menyebabkan mangsa di seret hingga ke luar kedai,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Mohd. Said berkata, insiden cubaan menyamun itu telah dirakam oleh televisyen litar tertutup (CCTV) kedai jamu dan ubat tradisional berkenaan. – K! ONLINE










