Suspek cederakan penjual ikan diburu polis - Utusan Malaysia

Suspek cederakan penjual ikan diburu polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU – Polis sedang mengesan seorang lelaki dikenali sebagai ‘Sidi’ yang disyaki terbabit dalam kes mencederakan seorang penjual ikan di Kampung Tanjung Gelam, Mengabang Telipot, Kuala Nerus pada 7 Julai lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman berkata, pihaknya percaya ‘Sidi’ atau nama sebenarnya Che Rozidi Amri Abu Bakar, 47, yang juga merupakan rakan sekampung mangsa masih berada di dalam negeri ini.

Menurut beliau, kejadian yang berlaku sekitar pukul 4 petang itu bermotifkan rasa tidak puas hati selepas mangsa bertindak menegur suspek yang memarahi seorang rakan berkait isu dadah.

“Difahamkan mangsa berusia 31 tahun itu telah menegur suspek yang memarahi seorang rakannya. Berikutan rasa tidak puas hati, suspek menggunakan sebilah pisau berukuran empat inci yang disambung pada sebatang PVC (polivinil klorida) untuk menikam mangsa.  

“Dalam pergaduhan itu, mangsa mengalami kecederaan pada dada sebelah kiri selepas ditikam oleh suspek dan dimasukkan ke wad Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini untuk menerima rawatan selama dua hari,” katanya dalam satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini hari ini.

Suffian meminta orang awam yang mempunyai maklumat tentang suspek supaya segera menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Wan Nurhafizah Rozdlan di talian 019-4471457 bagi membantu siasatan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN