Sungai Kandis: UMNO perlu baiki pendekatan - Utusan Malaysia

Sungai Kandis: UMNO perlu baiki pendekatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM 17 Julai – UMNO Kota Raja akan memperbaiki pendekatan sedia ada dengan merangka strategi baharu dalam menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis pada yang akan diadakan pada 4 Ogos nanti.

Ketua Wanitanya, Suhaila M. Zin berkata, UMNO perlu melakukan perubahan demi memastikan masyarakat kembali yakin kepada parti dan tidak hanya memfokuskan isu nasional sahaja.

“Kita melihat peredaran zaman semakin berubah dan memerlukan strategi baharu. Contohnya ketika berkempen, kebanyakan pengundi tiada di rumah dan calon sukar bertemu dengan mereka.

“Oleh demikian, kita perlu lakukan sedikit perubahan kerana PRK ini dilihat sesuatu yang penting selepas pentadbiran kerajaan bertukar daripada Barisan Nasional kepada Pakatan Harapan,” katanya kepaa Utusan Online, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Suhaila menyarankan supaya kepimpinan tertinggi UMNO mengutamakan meletakkan anak tempatan mewakili parti itu pada PRK nanti.

“Kita akur siapa sahaja yang diletakkan sebagai calon, namun berharap biarlah anak tempatan dan tidak kisah jika merupakan golongan wanita kerana Wanita UMNO sentiasa bersedia memberikan khidmat.

“Bagaimanapun, sekiranya pucuk pimpinan mahu meletakkan calon luar, kita menyarankan biarlah terdiri daripada individu dalam kalangan Ahli Majlis Tertinggi yang mampu memberi perubahan sekaligus merampas semula DUN SUngai Kandis,” ujarnya.

PRK DUN Sungai Kandis diadakan berikutan penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei meninggal dunia pada 2 Julai lalu akibat kanser limfoma. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN