KLANG 27 Julai – Walaupun pernah bergabung di bawah Barisan Nasional (BN) dan memutuskan hubungan antara kedua-dua belah pihak pada 1977, kerjasama UMNO dan Pas mampu dicapai sekali lagi bagi meneruskan perjuangan politik di negara ini.
Malah, Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis sebenarnya menjadi medan pertama titik penyatuan antara UMNO dan Pas bagi meraih sokongan rakyat di negara ini pada masa hadapan.
Calon BN, Datuk Lokman Noor Adam berkata, beliau berharap titik tersebut mampu dicapai antara kedua-dua parti termasuk melalui penubuhan satu parti atau satu gabungan.
“Saya amat berharap supaya PRK menjadi titik permulaan kerjasama antara UMNO dan Pas menerusi satu coalition atau satu parti dengan duduk bersama-sama. Kalau tidak boleh, maka kita duduk dalam entiti masing-masing tetapi bersatu menerusi gabungan.
“Ia penting kerana sudah diberi teguran oleh rakyat. Kita lihat kalau campur antara undi UMNO dan Pas sekali pun kita masih kekurangan. Kita belum dapat separuh daripada Malaysia. Jadi apa akan jadi kalau kita terus berpecah-belah,” katanya ketika ditemui semasa mengadakan Majlis Ramah Mesra bersama penduduk di Kampung Jawa di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Ahmad Maslan.
Dalam pada itu Lokman berkata, UMNO tidak mempunyai sebarang masalah untuk meneruskan perjuangan dengan Pas walaupun pernah berbuat demikian dan memutuskan hubungan pada 1977.
“Saya nampak setakat ini ahli UMNO tiada masalah kerana mereka semua amat mengharap kepada penyatuan sebab kita tahu kita tidak mampu berjuang sendirian.
“Tambahan pula UMNO atau Pas berpegang pada Islam yang menganjurkan kita untuk bersatu. Saudara Islam sepatutnya bersama dalam apa jua perkara terutama perkara yang memberi kemaslahatan,” jelas beliau.










