Sungai Kandis rintis kerjasama Barisan Nasional-Pas - Utusan Malaysia

Sungai Kandis rintis kerjasama Barisan Nasional-Pas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis dianggap merintis kerjasama serta penya­tuan semula dua parti terbesar orang Melayu di negara ini iaitu UMNO dan Pas.

Usaha itu bukanlah satu perkara yang mustahil walaupun UMNO dan Pas dilihat berseteru sejak 41 tahun lalu. Malah, hari ini kedua-dua parti ber­kenaan berada dalam blok pembangkang selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sekali gus me­nyaksikan masing-masing mempunyai matlamat yang sama dalam mewujudkan prinsip semak dan imbang dalam pentadbiran negara atau negeri.

Kerjasama itu diumumkan sendiri Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa Majlis Pengenalan Calon di Kampung Sungai Kandis malam semalam apabila BN dan Pas bakal berkongsi satu pentas menerusi program tidak rasmi sempena kempen PRK berkenaan.

Bahkan perkara itu menurut Ismail, telah dipersetujui oleh pemimpin Pas yang mana program bersama itu mungkin lebih bersifat isu-isu semasa mengenai kemasyarakatan, agama dan sebagainya.

Melihat daripada kesediaan kedua-dua pihak untuk me­ngadakan program secara bersama itu, barangkali langkah itu boleh dirujuk sebagai fasa pertama pemulihan hubu­ngan antara UMNO dan Pas. Bahkan ia diharap mampu dikembangkan dalam pelbagai perkara lain yang mungkin sehingga kepada penyatuan politik orang Melayu di negara ini.

Jika melihat daripada kenyataan pemimpin UMNO, mereka secara terbuka menyatakan kesediaan untuk beker­jasama dengan Pas bukan sahaja dalam PRK DUN Sungai Kandis, tetapi dalam apa jua keada­an pilihan raya sehinggalah kepada PRU-15.

Cumanya, sehingga kini Pas masih belum menyatakan pendirian secara rasmi sama ada untuk menerima atau menolak kesediaan UMNO itu. Walaupun demikian, keputusan Pas memberi laluan kepada UMNO bertanding dalam PRK DUN Sungai Kandis itu perlu dianggap satu langkah positif serta isyarat awal dalam membuka jalan kepada kerjasama antara kedua-dua parti itu.

Hakikatnya, kerjasama an­tara UMNO dan Pas sama ada secara rasmi atau tidak rasmi, ia harus disambut baik oleh semua pihak khususnya daripada orang Melayu.

Tidak ada ruginya bagi orang Melayu sekiranya ke­dua-dua parti berkenaan mengikat kerjasama dalam pelbagai perkara termasuk politik kerana usaha itu bakal memberi manfaat besar kepada survival bangsa itu dan agama Islam pada masa depan.

Orang Melayu pada hari ini tidak mampu lagi berada dalam pepecahan mengikut idelogi politik berasingan sejak sekian lama kerana natijahnya sudah terbukti apabila kuasa politik bangsa itu berakhir seperti melukut di tepi gantang seperti yang berlaku pada hari ini.

Pendek kata, ketepikan ego dan bersatulah. Bersatunya orang Melayu, maka bangsa-bangsa lain juga akan turut teguh.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN