SHAH ALAM 17 Julai – Polis Selangor akan menempatkan seramai 1,200 anggota dan pegawai polis sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis bermula Sabtu ini.
Ketua Polis negeri, Datuk Mazlan Mansor berkata, kesiapsiagaan polis sentiasa berada di tahap tinggi untuk bekerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memastikan keamanan dan kelancaran sepanjang berlangsungnya Pilihan Raya Kecil.
“Kita akan mementingkan semua aspek termasuk memastikan perjalanan trafik berjalan lancar sepanjang proses penamaan calon pada Sabtu ini dan pengundian pada 4 Ogos hadapan.
“Sepanjang proses PRK, kita menasihatkan orang ramai jangan melakukan perkara yang boleh menjejaskan ketenteraman awam,” katanya dalam sidang akhbar selepas perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Kontinjen Selangor sini hari ini.
Dalam pada itu, Mazlan turut mengingatkan supaya tidak menggunakan dron berikutan larangan penggunaannya masih lagi termaktub demi faktor keselamatan.
PRK DUN Sungai Kandis diadakan berikutan penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei meninggal dunia pada 2 Julai lalu akibat kanser limfoma. – UTUSAN ONLINE










